KN komited jadikan P. Pinang ‘Negeri Hijau Unggul’

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

KEBUN BUNGA – Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan Pulau Pinang bukan sahaja Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, malah menjadi Negeri Hijau unggul di Malaysia.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan segala transformasi di bawah Dasar Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat dapat mewujudkan suatu sistem yang lebih teratur, mampan dan maju, setanding dengan bandar-bandar antarabangsa maju di dunia.

“Saya percaya melalui pelbagai program di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Local Agenda 21 (LA21), kita (Kerajaan Negeri) akan menjayakan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Dasar Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca sempena Program Gotong-royong Membasmi Nyamuk Aedes dan Tikus di Blok 10, 12 dan 14, Lorong Batu Bukit 2 dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Ladang Lada, Geoffrey Gan Lian Kung.

Turut serta, beberapa Ahli Majlis bagi MBPP dan kira-kira 150 penduduk setempat.

Tambah Guan Eng, beliau yakin Pulau Pinang bakal mengalami anjakan paradigma dalam pelaksanaan dasar berkaitan dan pembersihan awam.

“Dasar ini mampu mengurangkan sisa dilupus, kos perbelanjaan menguruskan sisa bagi industri kitar semula, memanjangkan hayat tapak pelupusan di Pulau Burung serta kos tipping fi.

“Masyarakat perlu tahu dan sedar bahawa amalan pengasingan sisa ini merupakan aspirasi Kerajaan Negeri ke arah menjadi antara bandaraya antarabangsa terbersih di dunia.

“Oleh itu, sama-samalah kita menjayakannya, malah, saya sendiri akan hadir ke setiap perasmian program ini di 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di Pulau Pinang.

“Saya harap agar semua pihak mengambil inisiatif yang bersepadu dan strategik bagi memastikan dasar ini dapat dicapai dengan jayanya,” seru beliau.

Dasar Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca telah dilancarkan pada 1 Jun lalu melibatkan semua struktur masyarakat dalam memastikan aspirasi Pulau Pinang ke arah sebuah negeri hijau bertaraf antarabangsa.