KN lulus pengambilan tanah, SK Machang Bubok bakal ada padang sendiri

MACHANG BUBOK – Kerajaan Negeri meluluskan pengambilan tanah di Lot 20091, Mukim 16 seluas 8,246 meter persegi dalam merealisasikan pembinaan padang di Sekolah Kebangsaan (SK) Machang Bubok.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, permohonan untuk mendapatkan padang tersebut telah dimohon sejak tahun 2008 lagi.

“Sebenarnya, Kementerian Pendidikan turut meluluskan peruntukan untuk pembinaan padang ini sejak tahun 2010, namun saya lihat ianya tiada kemajuan langsung.

“Tahun 2013, saya membangkitkan perkara ini di Parlimen dan saya amat bersyukur kerana mesyuarat jawatankuasa tanah negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng pada 11 November lalu, meluluskan permohonan pengambilan tanah di sini,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Kesempatan sama, Chee Keong turut merakamkan terima kasih kepada pihak Kementerian sungguhpun perkara tersebut sudah berlarutan hampir 10 tahun.

“Saya amat berharap projek ini dapat dipercepatkan memandangkan kawasan Machang Bubok tiada padang yang sesuai untuk pemuda di sini bermain bola sepak… secara tidak langsung, inisiatif ini dapat mengurangkan gejala pelajar mengunjungi kafe siber,” jelasnya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Machang Bubok, Mohd. Puzi Awang.} else {