KN nekad sedia kemudahan pasar awam bertaraf antarabangsa untuk rakyat – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG

TANJUNG BUNGA – Kerajaan Negeri mahu segala kemudahan yang disediakan untuk rakyat termasuk kompleks pasar awam adalah bertaraf antarabangsa.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Pasar Awam Batu Feringghi pada 23 Julai lalu berkata, beliau tidak gembira dengan kemajuan dan kemudahan yang ada di kompleks tersebut.

“Projek ini dijalankan melalui GRPB (Gender Responsive Participatory Budgetting) dan Outcome Based Budgetting, iaitu melalui maklum balas orang ramai yang menyatakan perlunya ada sebuah pasar awam di sini.

“Atas usaha MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang), akhirnya kita berjaya mendapatkan tanah di sini, dan projek ini menelan kos RM9.073 juta, iaitu RM2 juta oleh MBPP dan selebihnya melalui sumbangan pemaju.

“Sungguhpun begitu, kita (Kerajaan Negeri) mempunyai tanggungjawab bagi memastikan kemudahan yang disediakan untuk rakyat menepati standard antarabangsa.

“Oleh itu, setelah berbincang dengan Datuk Bandar..saya harap kekurangan yang ada di
pasar awam ini dapat diatasi bagi memastikan ia menjadi nilai tambah kepada penduduk tempatan menikmati kemudahan
bertaraf antarabangsa,” ucapnya pada majlis berkaitan di sini pada sesi lawatan berkaitan.

Menurut Guan Eng, meskipun projek tersebut mempunyai beberapa masalah dan kerja-kerja tambahan sehingga tempoh siap perlu dilanjutkan, namun yang lebih utama adalah untuk memastikan kualiti semua kemudahan yang ada di sini.

“Saya telah minta supaya Datuk Bandar memantau kerja-kerja di sini, dan berharap projek ini dapat memberi manfaat kepada semua,” ujarnya.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif turut berucap pada lawatan kerja berkaitan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang serta Ahli Majlis MBPP, Chris Lee Chun Kit.

Difahamkan, kompleks yang mula dibina pada Jun 2014 telahpun memiliki CPC iaitu Certificate of Practical Completion atau Perakuan Siap Bina dan masih menunggu CCC atau Perakuan Siap dan Pematuhan.

Kompleks Pasar Awam Batu Feringghi yang terletak di Lot 481, Seksyen 1 Bandar Batu Feringghi merupakan kompleks dua tingkat yang dilengkapi dengan 16 unit gerai makanan dan minuman; 28 unit gerai pasar basah dan kering; dewan serbaguna dengan kapasiti 600 orang; tiga gelanggang badminton; perpustakaan mini; bilik kebudayaan; bilik komunit; bilik mesyuarat dan kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU).

Apabila siap kelak, kompleks pasar awam berkenaan akan menamatkan penantian penduduk selama kira-kira 20 tahun untuk memiliki pasar awam bertaraf antarabangsa.