KN perketat polisi ‘Tiada Beg Plastik Percuma’

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING

SEBERANG PERAI – Kerajaan Negeri bakal memperketatkan undang-undang pelaksanaan polisi ‘Tiada Beg Plastik Percuma’ di negeri ini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memberitahu, Kerajaan Negeri menerima banyak aduan mengenai ‘kelemahan’ polisi berkenaan yang mana terdapat pertubuhan-pertubuhan baru yang didapati tidak mengenakan caj bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik dipohon pelanggan dan pada masa sama tidak membuat pendaftaran di bawah program Agenda Ekonomi Saksama (AES).

“Di bawah pelaksanaan polisi ‘Tiada Beg Plastik Percuma’ sejak 2009, pusat membeli-belah dan pasar raya tidak dibenarkan untuk memberi beg plastik secara percuma kepada pelanggan.

“Sekiranya terdapat pelanggan memohon beg plastik, bayaran 20 sen perlu dikenakan yang mana levi yang dikumpul bakal disalurkan kepada tabung AES yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri membasmi kemiskinan di Pulau Pinang,’’ katanya yang juga Naib Pengerusi Penang Green Council (PGC) pada Majlis Penyampaian Sijil Idola Hijau Pulau Pinang 2016 bersempena penganjuran Karnival Hijau Pulau Pinang 2016 di sini baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Besar PGC, Thing Siew Shuen.

Mengulas lanjut, Boon Poh memberitahu, langkah asas untuk mengurangkan jumlah sisa adalah dengan mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Jika kita tidak berjaya mengurangkan penggunaan beg plastik, kita tidak akan berjaya dalam mana-mana program pengurangan sisa.

“Beg plastik dan perubahan iklim dikaitkan dalam pelbagai cara, bermula dari sistem perparitan yang tersumbat sehinggalah ketoksikan air laut.

“Marilah kita sama-sama membendung pencemaran dan perubahan iklim dan jadikan Pulau Pinang sebuah bandar mampan dan sesuai untuk didiami,” seru beliau.