KN pertimbang wujudkan laluan alternatif – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan mencari laluan alternatif bagi kegunaan pemaju projek perumahan lereng bukit Persiaran Lembah Permai, Tanjung Tokong, kata Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ekoran maklum balas daripada beberapa penduduk sekitar yang menyatakan bahawa mereka bimbang apabila kenderaan berat seperti lori pasir menggunakan laluan di kawasan perumahan masing-masing sebagai laluan ke tapak projek.

“Penduduk di sini tidak mahu pemaju menggunakan laluan tersebut kerana bimbang akan menimbulkan impak trafik (kesesakan) di kawasan ini dan dikhuatiri akan terjadinya tanah runtuh.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan meneliti Laporan Penilaian Impak Trafik projek dan mengkaji tindakan yang wajar serta bersesuaian bagi menyelesaikan masalah penduduk di sini,” katanya sejurus selepas mengadakan lawatan ke kawasan terbabit di sini baru-baru ini.

Kata Jagdeep, pemaju perumahan terbabit memenuhi garis panduan pembangunan di lereng bukit dan memenuhi Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environment Impact Assessment-EIA) yang ditetapkan.

“Saya sudah periksa dari segi EIA, tiada masalah dan ia juga memenuhi syarat Rancangan Struktur Negeri.

“Secara teknikal, projek ini mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 28 Januari lalu dengan kebenaran merancang diluluskan sebab bangunan kondominium ini dibina pada kecerunan di bawah 76 meter,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jagdeep berharap penduduk di kawasan tersebut dapat bersabar dan fokus terhadap isu laluan alternatif daripada mempertikaikan kewajaran projek berkenaan.

Difahamkan setiap unit kondominium dari dua blok bangunan itu bernilai sehingga RM2 juta. Ia turut dilengkapi dengan enam tingkat tempat letak kereta dengan 270 unit kediaman.