KN rancang caj khas sisa buangan kilang – Exco

Admin

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri dalam proses merangka perancangan untuk mengenakan caj khas kepada pihak pengilang di negeri ini pada aspek pengurusan sisa buangan industri yang pelbagai hingga mencecah 2,000 tan metrik sisa buangan setiap hari di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, kos membersih dan mengurus sisa buangan pelbagai industri di Pulau Pinang mencecah RM160 satu tan metrik.

“Kita terpaksa membelanjakan RM160 untuk satu tan metrik sisa buangan pelbagai indus tri ini.

Bayangkan, setiap hari terdapat kira-kira 2,000 tan metrik sisa buangan dilupuskan di tempat pelupusan sampah.

“Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) juga terpaksa membelanjakan hampir RM33,000 sebulan bagi menguruskan sisa buangan ini,” ujarnya selepas Majlis Pelancaran Seminar Peraturan Alam Sekitar berkaitan Produk anjuran Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar investPenang (iP), Loo Lee Lian dan Konsul Jeneral Jepun, Ryuji Noda.

Tambah Boon Poh, berhubung pelaksanaan tersebut, Kerajaan Negeri perlu melihat apakah jenis industri, bahan buangan dan pencemaran dihasilkan pihak berkaitan.

“Saya ditugaskan untuk menggubal rangka kerja dasar ini yang dijadulkan siap pada 1 Julai nanti dan fasa pelaksanaannya akan diputuskan kemudian,” ujar beliau.