KN serius sedia kemudahan infrastruktur bertaraf dunia secara berterusan – KM

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Pembinaan bangunan baharu Jabatan Landskap dan Jabatan Khidmat Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkonsepkan bangunan hijau bakal membuka laluan kepada pembinaan lebih banyak kemudahan bertaraf antarabangsa serta hijau di Pulau Pinang

. Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika Majlis Pembukaan Rasmi Bangunan Pejabat Baharu Jabatan Landskap dan Jabatan Khidmat Kemasyarakatan MBPP di Taman Bandaraya, Persiaran Kuari di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri amat serius dalam menyediakan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia secara berterusan.

“Penekanan bukan sahaja diberi kepada pentadbiran kerajaan yang telus, malah kita (Kerajaan Negeri) akan terus berusaha untuk menjamin suasana hidup serta kerja yang lebih sempurna dan berkualiti.

“Saya percaya dan yakin akan kewibawaan MBPP dalam pelaksanaan projek-projek baharu yang bakal dapat memenuhi citarasa masyarakat negeri Pulau Pinang, selaras dengan tuntutan global serta alam sekitar,” ucapnya pada majlis perasmian berkaitan 17 Januari lalu.

Turut berucap, Setiausaha Bandaraya, Ar. Yew Tung Seang.

Hadir sama, Pengarah Khidmat Pengurusan MBPP, Mohamed Akbar Mustapha, Ahli-ahli Majlis, Ketua-ketua Jabatan dan kakitangan MBPP.

Menurut Guan Eng, sebagai sebuah bangunan yang mesra alam, kedua-dua pejabat baharu tersebut dibina dengan elemen hijau semula jadi seperti dinding vertical green yang bertindak sebagai peranti teduhan daripada cahaya matahari.

“Bangunan ini bukan sahaja mesra orang kurang upaya (OKU), malah ia direka bentuk khas agar mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik.

“Malah, ia memang berbeza dengan reka bentuk bangunan konvensional lain kerana pejabat ini mengadaptasikan konsep pejabat terbuka yang kini amat popular di peringkat global, yang mana memberi impak positif kepada warga kerja serta mewujudkan suasana mesra dengan orang awam dan pelanggan,” jelasnya.

Dengan kos RM5.2 juta, kerjakerja pembinaan pejabat berkaitan bermula pada 1 Ogos 2014 dan siap sepenuhnya, 16 September 2016.