KN setuju warta RKK Bukit Bendera 1 Ogos

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bersetuju untuk mewartakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bukit Bendera pada 1 Ogos ini.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang pada 27 Mei lalu meluluskan RKK tersebut, sebelum diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 15 Jun lalu.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersetuju untuk mewartakan RKK Bukit Bendera… memandangkan semua peruntukan perundangan di bawah Akta 172 (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976) telah dipatuhi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada majlis sidang media di sini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Difahamkan, RKK Bukit Bendera adalah suatu pelan induk terperinci yang mengandungi idea-idea formal atau cadangan bagi menjadikan Bukit Bendera sebagai destinasi pelancongan yang unik, selain kaedah penyelesaian bukit mampan.

Draf asal RKK itu disediakan berdasarkan Seksyen 14B Akta 172, dengan mengambil kira pendapat penduduk serta pihak berkepentingan daripada masyarakat setempat, wakil-wakil perniagaan, agensi kerajaan, persatuan-persatuan serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam siri-siri perbincangan dan rundingan.

Program seranta serta pendengaran awam bagi draf RKK tersebut diadakan pada 14 November 2013 hingga 11 Disember tahun sama, namun tiada permohonan pelanjutan tempoh bagi program seranta.

Tidak cukup dengan itu, pameran draf RKK Bukit Bendera turut diadakan di Ruang Legar Konkos, Tingkat 3, Komtar serta satu lokasi lain di Stesen Bawah Bukit Bendera, sebelum ini.

“Hasilnya, sebanyak 27 borang bantahan awam berbentuk pandangan, bantahan dan cadangan berhubung draf laporan telah diterima daripada individu, badan profesional dan NGO,” jelas Jagdeep.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Yusoff Wazir yang mempengerusikan Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran Awam untuk draf RKK Bukit Bendera turut menerima bantahan daripada 12 individu dan lapan wakil organisasi, ketika menjalankan sesi pendengaran awam di Komtar pada 8 Mac 2014.

Jagdeep memberitahu, mesyuarat jawatankuasa itu kemudiannya menyediakan Laporan Keputusan Jawatankuasa Siasatan Tempat dan Pendengaran Awam berwajib untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 16 Februari lepas, lalu diluluskan pada 16 dan 26 Februari baru-baru ini.

RKK Bukit Bendera akan diwartakan pada 1 Ogos ini meliputi 468 hektar tanah tinggi di kawasan berkenaan.