KN sokong pembangunan sukan tempur – Ramasamy

Admin

BERTAM – Pertandingan Taekwondo Remaja Antara Kelab Peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang berlangsung pada 23 dan 24 April lalu menerima sumbangan langsung sebanyak RM2,000 daripada Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Ramasamy semasa majlis perasmian penutup kejohanan tersebut berkata, sumbangan itu adalah sebagai simbol Kerajaan Negeri menyokong pembangunan sukan tempur Taekwondo di Pulau Pinang.

“Ini, penting bagi memastikan negeri Pulau Pinang khususnya dan amnya bagi Malaysia (supaya) tidak ketandusan atlet dalam sukan tempur Taekwondo ini.

“Selain itu, Taekwondo mampu menjadi medium pertahanan diri terbaik bagi situasi-situasi yang tidak terduga dan kecemasan sekiranya diancam dengan jenayah,” katanya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Taekwondo Negeri Pulau Pinang, Mohamed Sabib Abdullah, Penasihat Kelab Taekwondo SPU, Danial Abdullah serta Pengurus Rangkaian Mydin Zon Utara, Azmin Suduruddin.

Difahamkan, penganjuran sukan kali ini bersempena Ulang Tahun Ke-25 Persatuan Taekwondo SPU. Empat kategori dipertandingkan, iaitu tujuh hingga sembilan tahun, 10 hingga 12 tahun, 13 hingga 14 tahun dan 15 hingga 17 tahun.

Seramai 340 remaja dari negeri ini, Perlis, Kedah dan utara Parak menyertai kejohanan tersebut bagi merebut Piala Pusingan Prof. Dr. P. Ramasamy.