KN taja RM15 juta bina sekolah agama untuk rakyat

Admin
KETUA Menteri bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, perwakilan Pusat Pendidikan Al-Itqan dan pemaju bersama-sama menunjukkan lakaran ilustrasi artis projek pembangunan Sekolah Al-Itqan di Teluk Kumbar pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menaja sejumlah RM15 juta bagi pembinaan sekolah agama, Pusat Pendidikan Al-Itqan (PPAIQ) yang terletak di Lot 347 dan Lot 348, Mukim 9, Teluk Kumbar, Bayan Lepas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek pembinaan pusat pendidikan tersebut bakal melibatkan pembinaan empat blok bangunan empat tingkat secara berfasa di atas sebidang tanah berkeluasan tiga ekar.

“Projek yang akan dibangunkan oleh pemaju, Ideal Property Group (IDEAL) ini adalah bertepatan pada waktunya memandangkan bukan sahaja kerana (pengumuman dibuat pada) bulan Ramadan, tetapi juga dapat memanfaatkan rakyat khususnya penduduk di Teluk Kumbar pada masa hadapan,” katanya ketika mengumumkan perkara tersebut pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Maktar Shapee merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri; Pengerusi Lembaga Pengarah PPAIQ, Prof Madya Dr. Abdul Halim Abdul Aziz dan Pengerusi IDEAL, Datuk Alex Ooi.

Menurut Guan Eng, projek yang dijangka mengambil masa 18 bulan (untuk Fasa 1) itu akan dilengkapi dengan 56 buah bilik darjah, dua buah bilik guru, pejabat pentadbiran, bilik rawatan, koperasi, dewan serbaguna, bilik persidangan, perpustakaan, bilik komputer, makmal sains dan kantin.

“Kini, sekolah tersebut mempunyai 220 murid sekolah rendah dan 70 pelajar sekolah menengah.

“Apabila siap kelak, ia mampu menampung sehingga 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Halim melahirkan rasa syukur apabila menerima berita gembira tersebut.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri kerana merealisasikan hasrat kami (PPAIQ) untuk membangunkan bangunan sekolah yang lengkap dengan kemudahan pengajaran dan pembelajaran,” katanya pada sidang media yang sama.

PPAIQ merupakan sekolah berintegrasi dua aliran iaitu aliran agama dan aliran perdana yang beroperasi tanpa laba.

Terletak di Jalan Kampung Masjid, Teluk Kumbar, sekolah yang mula beroperasi pada tahun 1998 itu, dahulunya dikenali sebagai Sekolah Rendah Islam Al-Islah dengan hanya tiga orang tenaga pengajar dan 70 murid.