KN terus pertahan tiada loji nuklear di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berikrar akan terus mempertahankan negeri ini daripada sebarang projek pembinaan loji nuklear pada masa hadapan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Pulau Pinang akan terus kekal sebagai sebuah negeri hijau dan Kerajaan Negeri tidak akan sesekali memberi kebenaran kepada Pusat untuk membina loji nuklear di sini.

“Kita (Kerajaan Negeri) ingin rakyat hidup dalam keadaan selamat.

“Kita tak mahu rakyat menderita disebabkan reaksi nuklear.

“Jika boleh, biarlah mereka (Persekutuan) lakukan hal yang sama iaitu tidak membina walau satu loji nuklear pun di Malaysia,” tegasnya ketika merasmikan Majlis Penutup Earth Hour Night Walk 2017 di sini pada 25 Mac lalu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Pengarah Pemuliharaan World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia, Dr. R. Sundari dan Pengurus Besar Hotel St. Giles, Tane Picken.

Pelepasan lebih 2,000 peserta berjalan kaki disempurnakan oleh Kon Yeow sejurus kompleks pasar raya tersebut dimalapkan lampunya selama satu jam bermula 8.30 malam sebagai tanda sokongan kepada kempen Earth Hour 2017.

Sambutan Earth Hour yang diraikan setiap tahun pada hari Sabtu minggu terakhir bulan Mac merupakan inisiatif kesedaran alam sekitar peringkat global yang diadakan dengan kerjasama WWF.