KN tolak bina loji janakuasa nuklear di P. Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Demi kemampanan alam sekitar, ekonomi dan sosial, Kerajaan Negeri menolak sebarang cadangan untuk membina loji janakuasa nuklear di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri menjadi negeri pertama di Malaysia yang menolak dengan lantang cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membina dua loji janakuasa nuklear.

“Walaupun bekalan tenaga bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, tetapi kita amat mengambil prihatin terhadap pembangunan tenaga yang boleh diperbaharui. Kita juga berharap negeri-negeri lain di Malaysia akan selamat dari risiko radiasi loji tenaga nuklear.

“Oleh itu, ayuh sama-sama kita menandatangani petisyen bantahan cadangan pembinaan loji janakuasa nuklear di Pulau Pinang demi memastikan kemampanan alam sekitar, ekonomi dan sosial generasi akan datang,” serunya ketika berucap pada Karnival XOX Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2014 di Padang Kota di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, ADUN Jawi,

Soon Lip Chee, Pengurus Besar Penang Green Council (PGC), Thing Siew Shuen dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye.

Karnival XOX Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2014 adalah hasil inisiatif ulung Kerajaan Negeri melalui PGC bersama lebih 90 buah syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi pengalaman serta penyelesaian terhadap perubahan iklim,

Pengurusan sisa, air dan tenaga yang lebih berkesan.

Karnival berkenaan merupakan lanjutan daripada Ekspo Hijau tahunan dalam membentuk dan mempromosikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau dan sihat.

Pelbagai aktiviti menarik disajikan sepanjang dua hari penganjurannya pada 13 – 14 September lalu, antaranya pameran rumah solar pintar, pameran daripada syarikat-syarikat korporat, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persidangan antarabangsa, pertandingan memasak ‘Chef Hijau’, pertandingan merekacipta pakaian menggunakan bahan-bahan kitar semula serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Sejajar itu, Guan Eng menggesa rakyat Pulau Pinang untuk terus menyokong inisiatif hijau melalui kecekapan pengurusan sumber sisa, air dan tenaga dalam mengorak langkah menuju ke arah sebuah negeri hijau, bersih, sihat dan selamat.

“Pilihan peribadi dan gaya hidup memberi kesan besar ke atas alam sekitar dan perubahan iklim. Oleh demikian, ayuh jadilah penyelesaian,
bertindak sekarang!,” seru beliau.