KN usaha wujud persekitaran ekonomi lebih sihat untuk aktiviti perniagaan – Rashid

Teks & Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) yang dilaksana oleh Kerajaan Pusat sejak 1 April tahun lepas bukan sahaja membebankan rakyat, bahkan turut menjejaskan aktiviti keusahawanan sehingga kini.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, Kerajaan Negeri dalam keterbatasan bidang kuasa yang ada akan berusaha mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih sihat untuk aktiviti perniagaan di Pulau Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan memberikan yang terbaik dalam membantu memudahkan urusan perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang persekitaran yang sesuai kepada usahawan untuk lebih berkembang di negeri ini,” ucapnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pada Majlis Anugerah Top Business Excellence (TBEA) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan My Business Excellence Sdn. Bhd. (MYBE), Lau Joo Tong yang merupakan penganjur utama penganugerahan berkaitan.

Seramai 20 ahli perniagaan dan usahawan menerima anugerah kecemerlangan pada majlis itu.

Antaranya, katerer makanan halal atas pesawat terbesar dunia, Brahim’s SATS Food Services Sdn. Bhd., Tiong Nam Logistics Holdings Berhad (syarikat pengangkutan), 3A Coating Technology (M) Sdn. Bhd., Bossard (M) Sdn. Bhd., Chin’s Chinese Cuisine (pengusaha restoran), Chop Tong Guan Sdn. Bhd. (pengusaha biskut).

Malah, sebanyak RM30,753 kutipan amal berjaya disumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Great Heart Charity Association atau dikenali sebagai Persatuan Kasih Sejati.

Tambah Mohd. Rashid, cabaran yang didepani oleh usahawan dapat dilihat pada penurunan hasil kutipan GST kira-kira 30 peratus, dalam suku kedua tahun ini (Q2 2016).

“Dalam tempoh tersebut, direkodkan, hasil kutipan GST sekadar RM17.2 bilion bagi separuh pertama tahun ini, jauh berbanding unjuran sasaran RM39 bilion,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid turut memuji MYBE kerana berjaya menganjurkan majlis anugerah tersebut, yang dihadiri seramai 103 usahawan cemerlang dalam pelbagai cabang industri perniagaan.

“Kejayaan mereka ini (penerima anugerah) boleh memberi inspirasi kepada orang ramai menceburi bidang perniagaan.

“Penganjuran majlis ini merupakan sumbangan tidak langsung MYBE kepada Kerajaan Negeri dalam menggalakkan dunia keusahawanan di Pulau Pinang supaya lebih berdaya saing,’’ jelasnya.