Komitmen & kejujuran tunjang ‘Teratak Coklat’ Aishah

AISHAH Baharom menunjukkan sebahagian  produk keluarannya.
AISHAH Baharom menunjukkan sebahagian produk keluarannya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

 

KEENAKAN biskut Famous Amos dan minatnya dalam bidang masakan menjadi pendorong kepada Aishah Baharom, 51, berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan pembuatan biskut, coklat dan kek.

 

Walaupun lebih 10 tahun, beliau yang kini memiliki ‘teratak’ biskut dan coklatnya sendiri masih tidak menafikan bahawa bidang tersebut masih amat mencabar bagi diri beliau.

 

Katanya, persaingan harga merupakan cabaran utama. Ini kerana, sebahagian besar pelanggan lebih mementingkan harga berbanding kualiti atau jenis produk yang dihasilkan.

 

“Kena betul-betul main harga, iaitu harga berani mati, dan sekurang-kurangnya packaging kena tukar setahun sekali,” jawabnya memulakan sesi wawancara bersama-sama Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara di premisnya yang terletak di Bangunan Seetee Aisah, Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT).

 

Teratak Coklat, nama premis diberi. Bau harum coklat dan biskut yang dibakar dapat dihidu sehingga ke luar premis. Apabila kaki melangkah masuk, mata begitu pantas memandang ke semua arah dan air liur mula memenuhi mulut.

 

Begitulah reaksi penulis, jurugambar serta pembantu Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya yang mengatur pertemuan berkaitan.

PRODUK terbaru, Kitty Kat.
PRODUK terbaru, Kitty Kat.

Mengulas lanjut, Aishah yang dikurniakan empat cahaya mata sebelum ini merupakan suri rumah sepenuh masa. Malah, anak kelima daripada lapan adik-beradik itu juga tidak mempunyai sebarang latar belakang mahupun pengalaman dalam bidang perniagaan.

 

“Pada usia 28 tahun, saya duduk rumah jadi suri rumah sepenuh masa. Saya suka masak terutamanya untuk anak-anak dan suami. Kami memang jarang beli makanan.

 

“Sambil-sambil itu, saya buat kek dan pizza dan bagi suami bawa ke office. Malah, jika suami balik dari oversea, saya akan pesan supaya jangan lupa beli biskut Famous Amos. Dari biskut yang dibeli itulah, saya cuba belajar buat sendiri.

 

“Sebab produk-produk mendapat feedback positif dan menerima tempahan melalui kawan-kawan dan calling-calling, saya putuskan untuk melangkah dengan lebih jauh iaitu dengan membuka kedai sendiri,” katanya.

 

Aishah tidak menafikan bahawa banyak cabaran dalam bidang berkaitan, naik turun adalah simbolik perniagaan jawabnya.

 

Beberapa tahun berniaga, beliau terpaksa menjual premisnya dan meneruskan di rumah sendiri sebelum membuka premis baru.

 

Sepanjang tempoh tersebut, beliau mengambil peluang menambah serta mempelbagaikan lagi ilmu pembuatan produk-produk berkaitan.

MUHAMAD Daniel Rosli ketika melayani salah seorang pengunjung Teratak Coklat.
MUHAMAD Daniel Rosli ketika melayani salah seorang pengunjung Teratak Coklat.

“Saya ambil dan ikuti macam-macam kursus di merata tempat termasuk di Kuala Lumpur selama seminggu. Juga belajar daripada backery yang menawarkan kursus-kursus khas.

 

“Semua kursus-kursus tersebut tidak murah. Ada yang mencecah hingga RM6,000 dan ada juga RM400, terpulang kepada teknik pembuatan.

 

“Walaupun mahal dan memperuntukkan tempoh masa serta komitmen diri, saya rasa saya boleh ke tengah, saya mampu,” ujarnya yang tidak menafikan bahawa keyakinan tersebut yang menjadi pendorong kepada kejayaan beliau kini.

 

Pada tahun 2011, Aishah menukar nama premisnya kepada ‘Teratak Coklat’ dan ia dikekalkan sehingga kini.

 

Dalam memantapkan strategi perniagaan, beliau yang merupakan anak jati Pulau Pinang membawa ‘Teratak Coklat’ memasuki agensi dan chocolate cookies sebagai killer product.

 

Bersempena penganjuran Halal Fest di Seri Kembangan, Selangor pada tahun 2012, ‘Teratak Coklat’ diumumkan sebagai pemenang bagi Kategori Pembungkusan Terbaik.

 

Kira-kira dua tahun kemudian, Aishah memenangi Anugerah Usahawan Tekun Cemerlang Peringkat Permatang Pauh.

 

Pada tahun ini, perniagaannya dikembangkan dengan tambahan cawangan premis yang menumpukan kepada pembuatan coklat.

 

” R&D (Kajian dan penyelidikan), R&D… amat penting.

 

“Saya pernah gunakan 200 kilogram adunan semata-mata untuk tujuan R&D. Untuk dapat feedback, saya akan jual murah produk-produk berkaitan,” jelas beliau yang turut mengikuti pelbagai kursus pemasaran.

 

Kini, produk ‘Teratak Coklat’ telah dieksport ke Arab Saudi, Singapura dan Brunei dalam proses persediaan. Malah, di pasaran tempatan, produk beliau boleh diperoleh di pasaraya EON Big, Agro Bazaar dan kini bakal memasuki pasaran selatan Semenanjung Malaysia.

 

Walaupun dikurniakan empat cahaya mata lelaki, Aishah bersyukur kerana semua anak-anaknya minat dalam bidang diceburi termasuk pembuatan kek, coklat serta biskut.

 

“Anak-anak pandai buat semua (produk). Malah, selepas menamatkan pengajian dalam bidang kulinari selama tiga tahun, anak kedua saya, Muhamad Daniel Rosli, 22, kini menjadi pembantu tetap saya di premis ini.

 

“Saya tidak pernah paksa anak-anak. Mereka memang minat. Saya bersyukur kerana perniagaan ini dapat diturunkan kepada mereka kerana nak capai hingga ke tahap ini adalah tidak mudah, malah banyak ilmu dan tenaga yang diperuntukkan,” jawabnya sambil menoleh ke arah Muhamad Daniel.

 

Mengulas lanjut mengenai keunikan produknya, Aishah memberitahu bahawa produk ‘Teratak Coklat’ adalah halal dan mempunyai kandungan coklat yang lebih. Malah, selain kepelbagaian jenis kek, coklat dan biskut, ‘Teratak Coklat’ turut menerima tempahan untuk hantaran serta hamper.

 

Sebagai perkongsian bersama, Aishah memberitahu bahawa prinsip dalam bidang perniagaan adalah kejujuran.

 

“Orang berniaga tiada duit, tapi ada aset.

 

“Berniaga kena jujur walaupun dengan kewangan sendiri. Walaupun satu sen, duit perniagaan tetap duit untuk perniagaan,” katanya mengakhiri sesi wawancara.

 

INFO :

Teratak Coklat

Alamat : No. 15, Bangunan Wakaf Seetee Aisah, 13700 Seberang Jaya.

No. Tel. : 04 – 399 4737/019 – 448 8200

Email : [email protected]

FB : teratakcoklat

Laman web : www.teratakcoklat.com.my