Komitmen Shan Poornam ‘proses’ sisa jadi bahan mentah dihargai

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merakamkan penghargaan atas komitmen syarikat Kumpulan Shan Poornam Metal Sdn. Bhd. (Shan Poornam) memproses sisa menjadi bahan mentah untuk keperluan industri di Malaysia dan rantau Asia Tenggara sehingga kini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Jamuan Malam dan Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Shan Poornam di sini baru-baru ini.

“Saya telah diberitahu bahawa kebanyakan teknologi yang tinggi telah disesuaikan untuk memenuhi keperluan Shan Poornam ini.

“Saya bangga ia adalah sebuah syarikat berpangkalan di Pulau Pinang,” jelasnya pada majlis berkaitan. Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud, Pengarah Urusan Shan Poornam, S. Selvakumar dan Pengarah Korporat Shan Poornam, Rose Kuan turut serta majlis keraian tersebut.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut memuji syarikat tersebut kerana diberi kepercayaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Japan International Corporation Agency (JICA) untuk menerajui projek kitar semula serta pemulihan e-waste dan klorofluorokarbon (CFC) dari rumah pada peringkat Kebangsaan.

“Malah, Kementerian Perdagangan Ekonomi Industri Jepun (METI) juga telah membiayai pemindahan teknologi dari Jepun ke kilang terbaru Shan Poornam,’’ kata beliau. Tambah Guan Eng, dengan penubuhan kilang baru, Shan Poornam Greentech Sdn. Bhd. , Shan Poornam akan juga menjadi industri pertama di Malaysia yang melakukan kerja – kerja pemulihan, untuk projek Domestic Household Electrical and Electronic Wastes.

Difahamkan, sebanyak RM60 juta dilaburkan dalam fasa pembangunan syarikat tersebut, dengan jangkaan pulangan sebanyak RM200 juta dalam tempoh lima sehingga 10 tahun, bagi menampung anggaran mengejutkan 720,000 tan metrik sisa yang dihasilkan setiap tahun.

“Dengan ini, 270 tan metrik CFC setiap tahun akan dihasilkan.

Di samping itu, ini juga akan menjana peluang pekerjaan bagi 500 kakitangan.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memainkan peranan yang amat besar dalam kitar semula dengan konsep 4R.

“Mereka telah meneraju projek kitar semula tiub pendarfluor secara bersama-sama antara Shan Poornam dan Nomura Koshan dari Jepun,” ujar Guan Eng.

Shan Poornam kini mempunyai kemudahan di Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak, sebagai perintis serta pemimpin untuk Syarikat Pengurusan Sisa Berjadual di Malaysia dan juga di Asia Tenggara.

Malah, pihak berkaitan juga sedang menguruskan 5,000 MT sebulan sisa berbahaya serta menghasilkan produk siap hijau seperti jongkong aloi aluminium, platinum, emas, paladium, perak dan bukan logam ferus