Kompaun MC, individu gagal laksana Dasar Asing Sisa Di Punca selepas 1 Jun – Exco

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

SEBERANG JAYA – Individu juga boleh dikenakan kompaun seperti badan pengurusan (MC) bagi semua kawasan kondominium di negeri ini bermula 1 Jun 2017, sekiranya gagal melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan tetap meninjau tiga tanggungjawab MC, iaitu melaksanakan majlis penerangan dasar berkaitan; menyediakan ruang serta operasi bagi dasar serta melantik kontraktor untuk menguruskan hasil kutipan sisa kitar semula.

“Kalau ada penghuni yang tidak melaksanakan dasar ini, bukan menjadi kesalahan MC, tetapi kompaun dikenakan ke atas penghuni terbabit sendiri, berpandukan undang-undang kecil PBT.

“Pujuk dan kempen pada dasar ini mesti diteruskan tetapi apabila sampai masanya, kita (PBT) akan mula mengeluarkan kompaun (sehingga maksimum RM250),” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dalam Operasi Pemantauan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca Di Kondo The Signature dekat Jalan Baru di sini baru-baru ini.

Turut serta, ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohd. Puad Hamid serta Pengarah Urusan MC Kondo The Signature, Edy Noor. Bercakap pada sidang media sama, Edy menyatakan bahawa, sejak Jun tahun lepas, kempen serta amalan pengasingan sisa di punca telah dilaksanakan membabitkan
semua 148 unit kediaman bagi kondominium 25 tingkat di sini.

“Peratus penyertaan adalah lebih 90 peratus, namun, cabaran kita adalah (kerjasama lanjut) dengan penyewa sahaja.

“Kutipan sisa pepejal dan yang boleh dikitar semula dilaksanakan di setiap tingkat, dan mudah untuk MC kenal pasti kerana di setiap tingkat ada enam unit kediaman sahaja,” jelasnya.

Mengulas lanjut, menurut Mohd. Puad, inisiatif dilaksanakan MC ketika ini adalah sangat baik kerana dalam operasi tinjauan terdahulu, MPSP pada beberapa bulan lepas di sini menyaksikan kira-kira 40 peratus penyertaan penduduk sahaja.

Kon Yeow dalam pada itu turut mengadakan operasi tinjauan serupa di Kondo Ocean View dekat Jalan Pearl Harbour, Butterworth.

Pada hari berasingan selepas itu, Kon Yeow turut mengetuai operasi pemantauan serupa di dua kondominium dalam kawasan Parlimen Bayan Baru, iaitu Olive Tree Residences dekat Jalan Mahsuri dan di Apartment Lavinia dekat Taman Sri Nibong dekat Sungai Nibong.

“Kita mahu Dasar Pengasingan Sisa Di Punca ini menjadi satu tabiat kepada orang Pulau Pinang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang dan Ketua Unit Pengurusan Sisa Pepejal Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Oon Lai Kuan.

Bercakap pada sidang media sama, Tung Seang memberitahu bahawa MBPP akan menjalankan pemantauan kepada lebih 200,000 unit kediaman bertingkat dan kediaman atas tanah (landed, 192) di seluruh negeri ini, mulai 1 Jun 2017.