Kompleks Sukan Bandaraya siap tempoh 20 bulan

Admin

PAYA TERUBONG – Sebagai komitmen Kerajaan Negeri dalam memajukan negeri Pulau Pinang ke  arah bandaraya bertaraf antarabangsa, sebuah Kompleks Sukan Bandaraya membabitkan kawasan pembangunan seluas 2.17 ekar dengan kos RM21.4 juta bakal disiapkan dalam tempoh 20 bulan di Relau di sini.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Sukan Bandaraya baru-baru ini.

Katanya, kompleks tersebut bakal dilengkapi pelbagai kemudahan rekreasi yang selesa antaranya, sebuah kolam renang bersaiz olimpik, kolam menyelam (1), gelanggang badminton (10), kafeteria, ‘pro shop’, bilik gimnasium, tempat letak kereta dan lain-lain.

“Kompleks Sukan Bandaraya ini direkabina berdasarkan Green Building Index (GBI) ‘rating tool’ dan bermatlamat untuk mendapat pengiktirafan bangunan hijau daripada agensi pengiktirafan bertauliah.

“Malah, syabas dan tahniah kepada pihak MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) kerana projek ini telah dilaksanakan secara ‘in-house’ dari peringkat reka bentuk sehinggalah siap kerja pembinaan.

“Segala kajian-kajian dan laporan-laporan GBI juga dilaksanakan secara  dalaman oleh MBPP sendiri tanpa melantik fasilitator GBI yang secara tidak langsung menunjukkan bahawa MBPP mulai memiliki kepakaran sendiri untuk melaksanakan projek awam bertaraf antarabangsa,” ucap Guan Eng.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas, dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail.

Kemudahan-kemudahan tambahan lain yang bakal melengkapkan Kompleks Sukan Bandaraya tersebut adalah seperti dua lot parkir bagi orang kurang upaya (OKU), ruang parkir basikal (35) dan ruang parkir keluarga.

Dalam pada itu, menurut Patahiyah, kompleks sukan berkaitan bakal menjadi pusat pembangunan atlet seperti sukan renang dan badminton terutamanya dalam melahirkan bakat-bakat baru.

Jelas beliau, melalui tender terbuka, syarikat pemaju, Focus Murni Sdn. Bhd. dianugerahkan kontrak berkenaan dengan ketetapan untuk menyiapkan projek berkaitan dalam tempoh masa 20 bulan.