Komposter Aerob bantu kitar semula sisa makanan jadi baja

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : J. PATMAVATHY

PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kerjasama Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN ) Perai baru – baru ini melancarkan Projek Komposter Aerob bagi menggalakkan penduduk setempat mengitar semula sisa-sisa makanan terkumpul untuk dijadikan baja.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy merangkap Exco Perancangan Ekonomi Negeri,

Pendidikan & Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, anjuran program seumpamanya bukan sahaja untuk menggalakkan persekitaran yang lebih hijau, tetapi, lebih penting menyumbang kepada pengurangan pemanasan global.

“Ini adalah langkah kecil, langkah pertama yang perlu diambil setiap orang.

“Setiap orang seharusnya berganding bahu bersama-sama menjayakan program hijau seumpama ini.

“Kita perlu pastikan bumi yang bakal diwarisi generasi akan datang adalah lebih bersih, hijau dan selamat,” ucapnya pada Majlis Perasmian Projek Komposter Aerob di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MPSP, M. Satees dan P. David Marshel.

Pengarah Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod turut berucap pada majlis tersebut.

Menurut Rosnani, cetusan idea projek tersebut diperoleh dan dipelajari dari Surabaya, Indonesia.

Difahamkan, sebagai permulaan, pengenalan projek tersebut akan dimulakan di peringkat perumahan sebelum diperkembangkan skalanya membabitkan skala yang lebih besar.