Kongsi tapak jaja di Pasar Awam Seri Rambai projek perintis MPSP

PADANG LALANG – Polisi kongsi guna tapak jaja tidak berbumbung di Pasar Awam Seri Rambai di sini adalah projek perintis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ahli Majlis MPSP, Micheal Tan Cheong Heng memberitahu , langkah moratorium atau pergantungan serta penangguhan kegiatan penguatkuasaan berwajib atas persetujuan bersama itu adalah sebagai langkah pemutihan terhadap ‘aktiviti penjajaan haram’.

“Konsep kongsi tapak jaja ini boleh dilakukan kerana pihak pelesenan mendapati ada penjaja berniaga sehari dalam seminggu, ada orang menjaja dua hari dalam seminggu dan sebagainya.

“Penjaja haram memang banyak di pasar-pasar awam , pendekatan (moratorium) ini perlu supaya mereka suatu hari nanti akan berjaya menjalankan aktiviti berniaga dengan lesen MPSP.

“Ini adalah projek perintis, jika berjaya di sini (Pasar Awam Sri Rambai), kita (MPSP) akan mempertimbang untuk diperluaskan konsep ini ke pasar-pasar awam yang lain,” jelasnya kepada wartawan, selepas melawat pasar tersebut di sini baru-baru ini.

Lai Shu Qua selaku Pegawai Seranta kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang serta bekas Ahli Majlis MPSP, Chong Pei Pei turut pada sidang media tersebut.

Lagipun, menurut Cheong Heng, polisi tersebut sekaligus dapat mencegah kutipan wang sewa tapak jaja secara ‘haram’ tanpa
kebenaran MPSP.

Tambahnya, polisi tersebut dilakukan selepas Bahagian Pelesesan MPSP melakukan bancian awam terhadap lebih 300 penjaja di sini, dan seramai 214 orang dipilih untuk menyertai projek perintis ini.

“Justeru, kami sedang mengkaji cadangan untuk mengeluarkan lesen penjaja khas untuk mereka yang terbabit dalam projek perintis ini, pada kadar bayaran RM16 setahun,’’ ujar beliau.

Terdahulu, Pei Pei dalam Mesyuarat Penuh MPSP pada tahun lepas mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan polisi kongsi tapak jaja tersebut.

Selepas itu, polisi tersebut buat pertama kali dilaksanakan oleh pihak penganjur tempatan di Pasar Awam Juru, dengan pemantauan MPSP.

Projek kongsi tapak jaja di Pasar Awam Seri Rambai tersebut merupakan projek perintis sulung MPSP, kini.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);