Kraftangan tradisional, harap tarik minat orang muda – Mohd. Sobri

MOHD. Sobri Yusof.
MOHD. Sobri Yusof.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

 

MALATA Jaya, namanya amat unik! Namun, bagi pemiliknya, ia adalah sebuah misteri yang tidak dirungkai.

 

“Saya percaya ada makna, nama (kedai) ni dari zaman arwah tok wan lagi, tapi saya tidak pernah tanya maknanya,” jawab Mohd. Sobri Yusof yang kini mengambil alih premis menjual alatan kraftangan, tembaga, aluminium, kayu dan besi yang diusahakan keluarganya sejak tahun 50-an dahulu.

 

Ketika penulis memasuki premis yang terletak di tengah-tengah pekan Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) itu, terasa kembali semula ke zaman kanak-kanak di kampung halaman.

 

Kelihatan congkak, tempurung, acuan-acuan kuih, tempurung cendol dan lain-lain tersusun di rak-rak tersedia.

 

Di bahagian belakang premis, tiga kakitangan Mohd. Sobri sedang sibuk menyiapkan tempahan seperti tempurung cendul dan papan rehal.

 

Menurut Mohd. Sobri, beliau mula membantu arwah ayahnya di premis tersebut sejak berusia 19 tahun.

 

“Selepas habis sekolah, saya akan datang ke kedai ‘bekerja’ dengan ayah.

 

“Saya ada tiga beradik, saya yang bongsu dan memang minat bidang ‘jual-jual’ (berniaga).

 

“Apabila habis sekolah, minta kerja tidak dapat, saya terus bertekad untuk terus berada di sini sampailah sekarang,” jelas beliau yang secara rasmi mengambil alih perniagaan tersebut pada tahun 2003 iaitu selepas ayahnya meninggal dunia.

DOLAH sedang menyiapkan salah satu peralatan kraftangan yang ditempah.
DOLAH sedang menyiapkan salah satu peralatan kraftangan yang ditempah.

Bagi Mohd. Sobri, 55, walaupun bidang diceburinya tiada persaingan dan juga tidak menghadapi masalah bekalan bahan mentah, cabaran utama yang dihadapi adalah faktor pekerja mahir.

 

“Susah nak cari orang yang mahir. Tiada orang terutamanya anak-anak muda yang minat belajar membuat peralatan-peralatan kraftangan tradisional ini.

 

“Ini termasuklah tujuh anak saya yang semuanya tidak minat. Cuma, apa yang saya nampak kini adalah anak saudara saya sahaja yang kini memang komited dan sentiasa berada di sini untuk membantu.

 

“Malah, beliau juga mahir membuat peralatan-peralatan kraftangan termasuk dari kayu dan tembaga. Boleh dikatakan dia semua boleh buat,” jelasnya sambil memperkenalkan ‘Dolah’ kepada Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara.

 

Mengulas lanjut, Mohd. Sobri memberitahu bahawa peralatan yang paling laris adalah tempurung keras (digunakan untuk membuat kuih keras), tempurung cendol dan gobek.

 

Selain Alor Star, Kedah, pasaran peralatan kraftangan yang dihasilkan kini juga memasuki Kuala Kangsar, Perak. Ini tidak termasuk jumlah yang diambil oleh pemborong.

KEPELBAGAIAN acuan kuih yang dijual.
KEPELBAGAIAN acuan kuih yang dijual.

“Kemungkinan sudah memasuki seluruh Malaysia,” seloroh Mohd. Sobri.

 

Bagi perancangan masa depan, Mohd. Sobri yang berasal dari Kampung Pajak Song berharap beliau dapat menambah bilangan pekerja mahirnya.

 

Pada masa sama, beliau turut berbesar hati sekiranya terdapat pihak yang sudi menderma mesin-mesin khas bagi mempercepatkan gerak kerja kraftangan yang dihasilkan.

 

“Ini kerana, setakat ini, semua barangan yang dihasilkan adalah menggunakan tangan 100 peratus,” ujar beliau sambil menyatakan bahawa premisnya dibuka pada setiap hari kecuali Ahad, dari jam 9 pagi hingg 5 petang.

 

Ketika ditujukan persoalan bahawa tempahan paling susah pernah diterima, dengan pantas Mohd. Sobri menyatakan bahawa ia adalah acuan kuih khas dari Jerman yang diterima beliau baru-baru ini.

 

“Pelanggan itu bawa contoh ‘acuan bunga’  yang dibawa pulang dari Jerman, tunjuk kepada kami dan mahu tempah.

 

“Dolah cuba dan tanpa diduga berjaya. Acuan tersebut berbentuk lain dari yang biasa, bentuknya unik dan dikatakan ia digunakan untuk membuat bunga ising,” jelas beliau.

 

Mohd. Sobri memberitahu, memang menjadi kebiasaan setiap pelanggan inginkan sesuatu tempahan siap pada tempoh masa singkat, namun, pembuatan acuan terutamanya memerlukan sedikit masa kerana ia menggunakan kemahiran tangan sepenuhnya.

 

Walaupun berhadapan dengan arus pembangunan dan percambahan kepelbagaian peralatan moden lain, Mohd. Sobri percaya bahawa industri kraftangan yang diusahakan secara turun-temurun oleh keluarganya akan terus kekal dan diperlukan.

 

 

 

INFO:

MALATA JAYA ENTERPRISE

Pembuat dan Pembekal Alatan Kraftangan

1451, Jalan Butterworth,

13200 Kepala Batas, SPU.

No. Tel. : 04 – 569 0332/ 019 – 544 6637 (Mohd. Sobri Yusof) / 017 – 422 1824 (Dolah)} else {