Kreativiti pelajar hasil model kediaman hijau

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Bagi mencabar kreativiti diri dalam penghasilan idea-idea alam sekitar yang mampan, sebanyak 19 sekolah dari lima daerah di negeri ini berjaya memasuki pertandingan Model Kediaman Hijau 2014 anjuran syarikat pembuatan berasaskan elektronik, Penang Seagate Industries (M) Sdn. Bhd. (Seagate) di sini baru-baru ini.

Pertandingan yang julung kali diadakan tersebut adalah berkonsepkan kreativiti pelajar dalam mengadaptasi teori-teori pembelajaran sekolah kepada idea-idea alam sekitar yang lebih praktikal dalam kehidupan seharian.

Naib Presiden Seagate, Tan Leong Hooi berkata, pertandingan tersebut adalah bertujuan mencabar minda pelajar bagi mencapai keseimbangan sempurna di antara teknologi dan alam sekitar.

“Kita hidup di dalam teknologi yang sedang membangun, namun, itu tidak bermakna kesedaran alam sekitar perlu diketepikan.

“Sebaliknya, idea serta kreativiti teknologi baru diperlukan agar pembangunan dan alam sekitar dapat dilestarikan bersama dalam pembangunan sejagat.

“Dengan adanya pertandingan seumpamanya, kita dapat semarakkan semangat belia dan merangsang minat mereka dalam mencari lebih banyak alternatif hijau untuk mengubahbaik dunia,” ujarnya pada penganjuran pertandingan Model Kediaman Hijau 2014 di sini baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Model pameran berkonsepkan Eco City dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Onn, Butterworth, Seberang Perai Utara (SPU) dipilih sebagai juara pertandingan. Kemenangan tersebut membolehkan pasukan tersebut membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi.

Tempat kedua adalah milik pasukan dari Chung Ling High School melalui model Azalea Park (RM4,000) dan ketiga (SMK Seri Nibong, Converse Park, RM3,000).

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau turut sependapat bahawa lonjakan pembangunan yang semakin membangun kini bukan alasan untuk mengenepikan isu-isu alam sekitar, sebaliknya perlu lebih bersaing ke arah pemuliharaannya.

“Alam sekitar adalah tanggungjawab setiap orang, hanya melalui usaha bersepadu semua pihak sahaja kita dapat mencapai matlamat melestarikan kehijauan bumi ini,” ujar beliau.