KSTB juara Piala Dato’ Hj. Abdul Halim Hussain

Admin

Oleh: AINUL WAR DAH SOHILLI

BALIK PULAU – Pasukan Kelab Sukan Teluk Bahang (KSTB) muncul juara pada Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah, Piala Dato’ Hj. Abdul Halim Hussain di sini baru-baru ini.

Pasukan KSTB menewaskan pasukan Mutiara Ixora dengan kelebihan satu gol menerusi penentuan penalti, sekaligus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta medal dan piala pusingan.

Manakala, pasukan Mutiara Ixora pula meraih RM1,000 berserta medal dan trofi selaku naib juara.

Kejohanan tersebut memperlihatkan 16 pasukan bola sepak terdiri daripada belia tempatan berentap merebut hadiah wang tunai berjumlah RM3,500 serta pialapusingan.

Mantan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang (PPK), Abdul Halim ketika ditemui berkata, kejohanan bola sepak terbabit memasuki tahun ke-lima penganjurannya di sini dan bertujuan menggalakkan belia tempatan menjalani gaya hidup sihat dengan bersukan.

Selain itu, katanya, ia juga menjadi aktiviti riadah yang sekaligus mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat dan belia setempat.

“Golongan belia adalah pelapis yang bakal mencorakkan masa depan, sekiranya mereka (golongan belia) dilatih dan diberi  pendedahan begini dari sekarang, maka saya percaya, minat mereka (golongan belia) terhadap bola sepak mampu dipupuk dan disemai ke tahap yang lebih tinggi,” katanya sejurus selepas perasmian kejohanan di Padang Bola Kongsi di sini.