Kurang gula giat bersenam, apabila sihat produktiviti lebih produktif

KEBUN BUNGA – Aktiviti senaman secara konsisten bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan fizikal yang sihat, malah juga kepada aspek kerohanian.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, budaya senaman perlu diamalkan secara konsisten, tiga hingga empat kali seminggu tanpa menunggu acara-acara senaman tertentu sahaja untuk menjadikan kehidupan lebih berkualiti.

“Kita (Kerajaan Negeri) mahu rakyat sihat…apabila sihat, produktiviti akan menjadi lebih produktif.

“Selain senaman secara konsisten, kita juga perlu mengawal pengambilan gula harian bagi mencapai prestasi kehidupan yang optima.

“Cuba bayangkan, saya tidak mengambil gula langsung dalam minuman serta tidak makan nasi setelah berpuasa semalaman, bacaan gula saya masih mencapai 5.8 milimol per liter (mmol/L).

“Jika saya tidak bersenam dan tidak mengawal pengambilan gula dan karbohidrat, bayangkan…pastinya diabetes lebih mudah menyerang, pasti akan beri banyak implikasi serta menjejaskan kualiti hidup,” ucapnya pada Majlis Pelepasan Peserta I Penang Morning Walk anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut dekat Taman Bandaraya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng; ADUN Sungai Pinang Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut, Nurshamshinaz Samsuddin.

Pada acara tersebut, lebih 200 peserta mengambil bahagian bermula dari Taman Bandaraya ke Taman Botani.