Ladang pisang musnah akibat ribut dapat perhatian Exco

PERMATANG PAUH – Kira-kira 2,000 pokok pisang di sebuah ladang separa organik dekat Kubang Hulu di sini yang musnah dipukul bencana ribut baru-baru ini mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Pulau Pinang akan menyalurkan input bantuan seperti anak pokok, baja dan sebagainya kepada pengusaha-pengusaha ladang tersebut.

“(Bentuk bantuan) ini lebih pada teknikal dan input-input melalui Jabatan Pertanian, (maka) kita harap dapat mengurangkan kos kerugian yang terpaksa ditanggung pengusaha ladang ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya ketika mengadakan lawatan ke lokasi kejadian di sini baru-baru ini.

Turut hadir, ADUN Permatang Pasir merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man, Pegawai Jabatan Pertanian Negeri bagi Daerah Seberang Perai Tengah, Abd. Rahman Hassan dan Nurul Iman Anwar, iaitu anak kelima kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Mohd. Salleh, pihaknya turut akan menyumbang bantuan ‘bencana kecil’ dalam bentuk wang kepada pengusaha-pengusaha ladang organik berkenaan.

Sebelum itu, Pengusaha, Ng Yong Loh, 50, memberitahu bahawa kesemua 4,100 pokok ditanam di ladang organik tersebut dan kira-kira 2,000 pokok yang telahpun berbuah muda tumbang akibat bencana ribut.

“Jun tahun lepas baru ambil (kutip hasil buah pisang), kali ini tak ambil lagi sebab tak cukup 10 bulan lagi.

“Anggaran kerugian hampir RM150,000, kalau pokok baru boleh dapat (satu tandan pisang) seberat 20 hingga 30 kilogram dan harga (borong) RM2.50 sekilogram,” jelas Yong Loh.

Yong Loh merupakan pengusaha bersama dengan dua rakan lain, Ng Joo Ping, 31, dan Choo Shin Seong, 40.

Dalam perkembangan lain, bencana ribut pada hari kejadian turut memusnahkan ladang pisang lain di Ara Kuda dalam Kawasan Parlimen Tasek Gelugor.