Laksa Sotong Kg. Selamat, memoir cinta Cik Habsah

HABSAH Yahya atau Cik Habsah.
HABSAH Yahya atau Cik Habsah.

 

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

KEJAYAAN Cik Habsah mempopularkan Laksa Sotong Kampung Selamat warisan keluarga arwah suami beliau pada hakikatnya tersirat sebuah kisah yang meninggalkan kesan amat mendalam kepada penulis.

 

Ini kerana, setelah kira-kira enam tahun penulis dipertanggungjawabkan terhadap ruangan Jalan-jalan Buletin Mutiara, tugas ini lazimnya ‘memaksa’ penulis untuk menjelajah ke seluruh Pulau Pinang bagi mencari bahan untuk dikongsi bersama-sama pembaca.

 

Apa yang cuba dinyatakan penulis, temubual yang diatur sehari sebelum oleh Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad berkenaan adalah lain daripada yang sebelum ini.

 

Ketika skuad Jalan-jalan tiba di kediaman Cik Habsah atau nama sebenar, Habsah Yahya, 55, bersama-sama anak sulungnya, Siti Khalsum Ramli, 36, sedang sibuk di dapur menyediakan, bukan hanya sajian laksa, malah kuih-muih tradisional seperti kuih ketayap, karipap dan juga nasi lemak.

 

Melihat kesibukan beliau, penulis tetap mengajukan pelbagai soalan berhubung perusahaan yang telah diusahakannya sejak 30 tahun lalu.

 

Bukan senang untuk beliau berkongsi cerita di sebalik Laksa Sotong Kampung Selamat yang bukan hanya popular dalam kalangan masyarakat tempatan, terutamanya mereka yang berketurunan Cina, malah juga pelancong luar.

LAKSA Sotong Kampung Selamat yang amat popular.
LAKSA Sotong Kampung Selamat yang amat popular.

Apabila setiap soalan diajukan, penulis dapat memerhatikan riak wajah Cik Habsah berubah dan sehingga satu tahap, beliau menitiskan air mata terkenangkan arwah suami tersayang yang meninggal dunia ketika dalam tidur pada usia 51 tahun.

 

“Prinsip Makcik cuma satu, hendak bagi anak makan dan sekolah,” jawabnya apabila ditanya faktor yang mendorong beliau meneruskan perusahaan berkaitan selepas bergelar ibu tunggal 17 tahun lalu.

 

Ketika arwah meninggal dunia, enam anak-anaknya masih di bangku sekolah dan anak bongsu hanya berusia dua tahun setengah.

 

“Memang rasa susah. Tapi, saya terpaksa sahut cabaran demi anak-anak.

 

“Selepas tiga bulan arwah meninggal, Makcik pindah kedai asal yang terletak di dekat tokong Cina Kampung Selamat ke depan rumah sebab senang nak urus anak-anak.

 

“Nak kerja di luar, anak-anak semua kecil lagi, maka Makcik teruskan juga. Masa itu, hanya buat laksa satu jenis sahaja,” katanya yang berasal dari Batu Lapan, Kedah.

 

Cik Habsah memberitahu bahawa beliau dan arwah suami merupakan pengasas sajian laksa sotong di sekitar kawasan berkaitan (Kampung Selamat, Tasek Gelugor).

 

“Makcik belajar membuat laksa (biasa) daripada arwah ibu mertua. Masa itu, memang kena belajar untuk tolong arwah suami berniaga.

 

“Kemudian, pada sekitar 90-an, arwah suami secara tiba-tiba terkeluar idea untuk cuba membuat laksa sotong.

 

“Makcik pun tak tahu dari mana datangnya idea itu, dan Makcik cuba olah resipi asas sambal, masukkan gula dan kacang sehingga ia menjadi,” jelas beliau.

SAMBAL sotong yang merupakan rahsia Laksa Sotong Kampung Selamat.
SAMBAL sotong yang merupakan rahsia Laksa Sotong Kampung Selamat.

Namun, pada peringkat permulaan, laksa sotong langsung tidak memperoleh sambutan.

 

“Makcik masih ingat, hari pertama kami menjual laksa sotong, satu periuk kecil ‘sambal’ sotong yang dimasak, satu periuk kecil juga yang dibawa balik.

 

“Kami tidak rasa putus asa. Sebaliknya, ‘kekecewaan’ tersebut menjadikan kami lebih bersemangat.

 

“Kami bertahan, cuba dan cuba lagi…kira-kira setahun kemudian barulah ia menjadi pilihan ramai sehingga kini. Malah, kini, jualan laksa sotong adalah lebih laris daripada laksa biasa,” ujar beliau yang amat peramah orangnya.

 

Cabaran Cik Habsah tidak berakhir di situ, beliau berkata, perniagaannya pernah ‘tidak berjalan’ dalam tempoh tiga bulan.

 

“Makcik buka kedai seperti sedia kala dan nampak kereta (pelanggan) pandu masuk, tetapi secara tiba-tiba mereka berpatah balik.

 

“Pada peringkat permulaan, Makcik tidak mengesyaki apa-apa. Masih berniaga seperti biasa. Sehinggalah pada satu hari, seorang pelanggan memberitahu bahawa beliau datang untuk makan, tapi nampak kerusi dan keadaan kedai kosong serta tutup. Malah, ada yang bertanyakan bahawa ke mana kedai Makcik berpindah.

 

“Masa tu, baru Makcik percaya dan lakukan apa yang ‘patut’,” jelasnya sambil menyatakan bahawa persaingan dalam bidang perniagaan memang wujud dan kesabaran adalah amat penting.

 

Berkongsi pengalaman beliau membuat laksa, Cik Habsah menyatakan bahawa bahagian paling rumit untuk menghasilkan kuah laksa adalah menyiang ikan. Selain itu, teknik pembuatan laksa yang memerlukan pendekatan khas juga amat mencabar diri beliau.

 

“Menghasilkan laksa memerlukan banyak proses iaitu beras perlu direndam kemudian ditumbuk, diperap, dibuat dalam bentuk doh, tumbuk dan kemudian letak dalam acuan untuk menghasilkan bentuk ia.

 

“Sehingga kini, Makcik masih belum betul-betul memahiri proses pembuatan laksa dan sekiranya buat, hanya untuk makan keluarga sendiri sahaja,” katanya yang kini memiliki enam orang cucu.

 

Bagi perancangan masa depan, Cik Habsah berharap untuk mengembangkan perniagaan sedia ada.

ADIK ipar beliau menarik kereta 'penjaja' dari dapur ke bahagian kedai bagi memulakan jualan pada hari berkaitan.
ADIK ipar beliau menarik kereta ‘penjaja’ dari dapur ke bahagian kedai bagi memulakan jualan pada hari berkaitan.

“Buka cawangan sekiranya ada rezeki. Bagi anak (anak sulung) uruskan sebab dia sudah memahiri semua teknik yang ada pada saya,” ujar beliau yang juga pakar dalam pembuatan kuih ketayap (turut menghasilkan sendiri kulit ia), ketupat, inti kelapa untuk pau serta karipap.

 

Setiap hari selepas sembahyang subuh, Cik Habsah memulakan rutin harian yang telah menjadi darah dagingnya sekian lama.

 

Dengan dua tangan yang dianugerahkan Allah, doa yang berterusan, beliau berjaya membesarkan semua anak-anaknya.

 

Kini, perniagaannya yang banyak diuruskan Siti Khalsum, Cik Habsah mampu tersenyum puas melihat cucu-cucunya bermain serta mengusik beliau.

 

“Anak dah pandai buat laksa, senang nak ke mana pun kini,” katanya puas sambil menitiskan air mata gembira.

 

 

INFO :

Tempahan : 019 – 524 2641

Waktu operasi : 2.30 petang – 7 malam (kecuali hari Rabu sehingga 9 malam) ; Tutup – Jumaat dan sepanjang bulan Ramadan

 document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);