Laksana asing sisa, jana pendapatan sampingan

Admin

SEBERANG JAYA – Persatuan penduduk mampu menjana pendapatan sampingan dengan melaksanakan amalan pengasingan sisa di punca, sebagaimana dikuatkuasakan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata demikian pada Majlis Taklimat Pengasingan Sisa Di Punca dan Seberang Jaya Sihat dekat Dewan Blok O-T Pangsapuri Permata Bandar Perda di sini baru-baru ini.

“Melalui dasar ini, hanya sisa baki sahaja yang akan dihantar ke (Tapak Pelupusan Sampah) Pulau Burung.

“Namun, pengasingan dan pengumpulan sisa yang boleh dikitar semula boleh menjana pendapatan sampingan kepada persatuan penduduk dan JKKK di sini,” katanya yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan pada majlis berkaitan.

Turut serta, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, dua Ahli Majlis MPSP, Alias Wan Chek dan Shuhada Abdul Rahim serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Empat, Azhar Che Mat.

Sebelum itu, Maimunah memberitahu, Dasar Pengasingan Sisa Di Punca mula dilaksanakan pada 1 Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Jun 2017.

Melalui dasar tersebut, beliau berharap warga Seberang Perai terus mencari jalan untuk mengurangkan keterhasilan sampah di rumah masing-masing, sekaligus membantu MPSP menjimatkan sumber dana awam pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“MPSP mampu menjimatkan kira-kira RM11,110 tipping fee dalam sehari jika 50 peratus daripada 1,100 tan metrik sampah yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung berjaya dikurangkan.

“Jika penduduk boleh membantu MPSP mengurangkan keterhasilan sampah harian pada 550 tan metrik sehari, ertinya jumlah tipping fee dalam tempoh sebulan yang berjaya dijimatkan adalah kirakira RM333,000 dan mencecah RM4 juta untuk setahun,” jelasnya sambil menganggap amalan kitar semula dan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang dilaksanakan sebelum ini berjaya mengurangkan keterhasilan sisa baki di Seberang Perai.

Tambah Maimunah, berat kutipan sampah MPSP dalam tempoh Januari hingga Mei 2015 direkodkan berjumlah 189,240.46 tan, berbanding tempoh sama pada tahun ini seberat 172, 232.56 tan, dengan angka penurunan dicatatkan sebanyak 17,008 tan.

Kadar kitar semula MPSP dan Pulau Pinang masing-masing direkodkan antara paling tinggi di Malaysia, iaitu 39 peratus dan 32 peratus.