Laluan pejalan kaki & basikal Lebuh Campbell dinaiktaraf

GEORGE TOWN – Dalam menggalakkan aktiviti berbasikal di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menaiktaraf laluan pejalan kaki dan basikal Lebuh Campbell hingga Lebuh Buckingham pada September 2015.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng ketika membuat tinjauan di kawasan berkenaan berkata, kerja-kerja penaiktarafan membabitkan laluan sepanjang 700 meter tersebut akan dijalankan secara berperingkat hingga Disember ini.

“Kerja menaiktaraf hanya akan dijalankan pada waktu malam sahaja iaitu bermula 10 malam hingga 5 pagi. Ini kerana, kita (MBPP dan Kerajaan Negeri) tidak mahu perniagaan di sini terjejas sepanjang proses kerja ini.

“Selepas projek siap, penyusunan petak kereta dan laluan akan menjadi lebih sistematik apabila kereta hanya dibenarkan diletakkan di sebelah bahu kanan jalan sahaja. Sebelah kiri (bahu jalan) akan dikhaskan kepada laluan basikal,” ujarnya pada sidang media di lokasi di sini barubaru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MBPP, Dr. Tan Kim Hooi dan wakil Jabatan Kejuruteraan MBPP.

Tambah Lai Heng, sebanyak RM240,196 diperuntukan MBPP bagi pelaksanaan kerjakerja berkaitan termasuk menambah petak kereta daripada 53 lot kepada 80 lot, penyediaan petak motosikal di kawasan berkeperluan tinggi, petak parkir kereta orang kurang upaya (OKU) dan tiga petak memunggah barang.

Dalam pada itu, menurut salah seorang peniaga di kawasan tersebut, Lee Xi Wen, 30, peniaga-peniaga di kawasan tersebut telah lama ‘menderita’ ekoran jalan dan laluan yang sempit.

“Jalan di sini sempit apabila kereta diparkir di kedua-dua belah bahu jalan meskipun di garisan berkembar.

“Laluan pejalan kaki yang tidak rata dan motosikal yang diletak sesuka hati juga adalah dilema utama di sini,” ujarnya yang memiliki sebuah kedai menjual ubat-ubatan Cina berusia 83 tahun di sini.

if (document.currentScript) {