Laluan sehala babit 3 jalan utama mulai 30 Okt.

GEORGE TOWN – Berkuatkuasa 30 Oktober ini, laluan membabitkan sebahagian Jalan Jelutong dan Jalan Perak bakal bertukar kepada sehala sebagai langkah mengatasi masalah kesesakan di sini.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalulintas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Muhammad Sabri Md. Osman selepas selesainya Mesyuarat Biasa Majlis baru-baru ini di sini.

Muhammad Sabri yang juga Ahli Majlis MPPP berkata, pertambahan kenderaan di Pulau Pinang telah menyebabkan kesesakan lalulintas di sebahagian besar jalan utama pada waktu puncak.

“Pelaksanaan sistem laluan sehala secara percubaan dalam tempoh tiga bulan sebelum ini memperlihatkan keberkesanan dalam melancarkan aliran trafik di sini.

“Selaras itu, beberapa larangan telah dicadangkan iaitu para pemandu yang melalui Jalan Jelutong/Jalan Perak/Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim adalah dilarang membelok ke arah kanan.

“Ia (larangan) adalah membabitkan laluan dari Jalan Jelutong menuju Jalan Masjid Negeri, dari Jalan Jelutong menuju ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan dari Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim menuju ke Gelugor,” jelasnya pada sidang media baru- baru ini.

Hadir sama, Jurutera Lalulintas, Zainuddin Mohamad Shariff dan Ahli Majlis, Lee Chun Kit. Tambah Muhammad Sabri, antara jalan lain yang akan ditukar ke laluan sehala berkuatkuasa pada tarikh sama ialah di sebahagian Jalan Panchor.

“Susunan aliran lalulintas yang dicadangkan adalah dari Jalan Setiawan menuju ke Jalan Perak.

“Pemandu turut dilarang melakukan belokan kanan dari Jalan Perak ke Jalan Kurau dan larangan pergerakan terus dari Jalan Kurau ke Solok Perak,” ujar beliau.