Lambakan data, galak pengurusan data sistematik – Hon Wai

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN– Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai percaya bahawa dunia kini sedang berhadapan dengan lambakan data tidak berstruktur sehingga ia menjadi cabaran kepada semua untuk menguruskannya supaya lebih tersusun serta mudah dicapai semua melalui atas talian.

Katanya, pengurusan data besar atau ‘big data’ kini menjadi satu cabaran besar yang menuntut sesuatu elemen atau organisasi mengumpul, menyusun, menyimpan, menganalisis dan menguruskan maklumat dengan menggunakan penyelesaian storan dan pengurusan maklumat secara teratur.

“Kita sedang mengalami perubahan besar dalam era teknologi maklumat yang bukan sahaja mengubah corak kehidupan masing-masing sama ada sebagai seorang individu ataupun organisasi, tetapi juga merevolusikan sejarah tamadun manusia keseluruhannya.

“Data yang dikumpul dalam masa nyata iaitu ketika kita bersosial atau bagaimana (kita) menghabiskan masa melalui atas talian, kemudiannya akan dianalisis bagi mencari tindakan penyelesaian kepada pelbagai isu termasuk kehidupan harian manusia,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Alibaba.com mewakili Ketua Menteri di sini baru-baru ini.

Jelasnya, dalam usaha menggalakkan pengurusan data yang sistematik, pendekatan untuk memperoleh pandangan individu melalui aplikasi peranti pintar, rakaman video digital, penjejak data atau menggunakan medium media sosial amatlah dituntut.

“Sekarang, telefon pintar berfungsi sebagai komputer yang boleh melayari internet dan mencari maklumat data besar secara interaktif.

“Hal ini menunjukkan bahawa data besar merupakan satu industri yang mengubah segalanya, bukan sahaja memetakan hubungan pengguna melalui Facebook, Twitter dan LinkedIn, tetapi juga perkongsian maklumat antara pengguna,” ujar beliau.

Malah, jelas Hon Wai, Kerajaan Negeri sentiasa menyahut cabaran dengan menggalakkan penggiat industri di negeri ini untuk tidak hanya bersandar kepada perubahan teknologi sahaja, tetapi juga berkecimpung dalam persaingan data besar di peringkat global.

“Dari perspektif Kerajaan Negeri, data besar memainkan peranan merangsang pertumbuhan masa depan sama ada melalui sektor ekonomi mahupun pembangunan.

“Melalui data besar, kecekapan dan keberkesanan rancangan Kerajaan ke arah mencapai negeri bertaraf antarabangsa bakal menjadi realiti,” ucapnya di hadapan kira-kira 200 peserta konvensyen.

Konvensyen Alibaba.com menghimpunkan komuniti tempatan dan global serta pakar teknologi data dalam menentukan arah tuju pengurusan data besar yang bukan sahaja penting dalam lapangan korporat, malah perdagangan serta perniagaan.