Langkah proaktif perlu demi elak kematian tahanan dalam lokap

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy melahirkan rasa bimbang ekoran peningkatan laporan kes kematian tahanan dalam lokap polis di negara ini Katanya, hampir 255 kes berkaitan direkodkan di seluruh negara antara tahun 2000 hingga 2014, sehingga kini, dua laporan sahaja diakui berpunca daripada pihak polis sendiri.

“Kematian dalam tahanan adalah suatu isu yang harus dipandang serius. “Di Pulau Pinang, sebanyak sembilan kes direkodkan pada 2014, dan empat (2015),” ucapnya pada Majlis Kempen Menentang Penyeksaan dan Hukuman Zalim di sini baru-baru ini.

Kempen kesedaran tersebut dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dengan kerjasama Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam di bawah Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Amnesty International Malaysia (AIM).

Tambah Ramasamy, kes-kes berkaitan tidak sepatutnya berlaku kerana setiap individu mempunyai hak kepada nyawa, sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

“Tidak dinafikan, masih ramai masyarakat umum tidak menyedari kewujudan hak-hak individu yang membolehkan seseorang dituntut mengikut SUHAKAM.

“Justeru, saya menggesa supaya semua pihak berwajib merangka langkah penyelesaian yang lebih proaktif demi memastikan kes kematian tahanan di dalam lokap polis tidak berulang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ramasamy menyatakan bahawa Kerajaan Negeri melalui penubuhan sebuah jawatankuasa khas sebelum ini juga diarah merekod kes kematian di dalam lokap polis yang berlaku di Pulau Pinang.