Lantikan ahli PTC kuatkuasa serta-merta

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyeru agar Ahli-ahli Majlis Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (Penang Transport Council, PTC) dilantik dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Upacara Penyerahan Sijil Pelantikan Ahli Majlis PTC di Dewan Masyarakat Penyayang di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi PTC yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Menurut Guan Eng, selain memantau, meneliti dan mengkoordinasi projek-projek pengangkutan awam di Pulau Pinang, ahli-ahli PTC turut berperanan mengemukakan cadangan konsep bagi pelaksanaan projekprojek berkaitan.

“Mereka (ahli-ahli PTC) yang dilantik secara sah layak memberi pandangan mahupun cadangan yang bernas berdasarkan fakta kepada jawatankuasa PTC.

“Ia merupakan penambahbaikan fungsi-fungsi PTC dalam menangani masalah kesesakan lalulintas di negeri ini melibatkan tiga cabaran utama iaitu kebersihan (cleanliness), kesesakan lalu lintas (congestion) dan keselamatan awam (crime) atau 3Cs,” ujarnya yang berharap lantikan tersebut dapat membantu Kerajaan Negeri dalam perancangan pelaksanaan projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang dan pembinaan jaringan lebuh raya serta terowong dasar laut.

Guan Eng yang juga Penaung PTC memberitahu bahawa Kerajaan Negeri memandang serius isu kesesakan lalulintas dan sistem pengangkutan awam di negeri ini.

“Sejak penubuhan PTC pada tahun 2009 lagi, Kerajaan Negeri sentiasa memastikan isu tersebut dapat dibendung.

“Masalah kebersihan dan keselamatan awam kini mula diatasi apabila Pulau Pinang menjadi lebih bersih dan mencatat pengurangan kadar jenayah antara tertinggi di Malaysia.

“Namun, masalah kesesakan lalulintas masih menjadi cabaran terbesar,” jelasnya. Sebagai rekod, berdasarkan senarai ahli-ahli PTC, seramai 18 orang ahli merupakan ahli lama, manakala 36 nama merupakan ahli baru dilantik, menjadikan jumlah keseluruhan 54 orang.

Kon Yeow ketika ditemui memberitahu bahawa beliau dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas dari Barisan Nasional (BN), Nordin Ahmad menolak lantikan tersebut.

Manakala, ADUN Teluk Air Tawar yang juga merupakan Ketua Pembangkang Negeri, Datuk Jahara Hamid dan ADUN Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah masih mempertimbangkan lantikan tersebut.

Lantikan ahli-ahli PTC berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 September 2017.