Laporan palsu & fitnah media pro BN, percubaan aibkan Kerajaan Negeri menjelang PRU – Guan Eng

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menasihatkan beberapa media mesra Barisan Nasional (BN) supaya tidak terus mengamalkan politik fitnah terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pada musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sekarang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai beberapa laporan palsu dan berunsur fitnah yang dilaporkan baru-baru ini.

Justeru beliau berkata, pihaknya memang tidak selesa dengan wartawan yang tiada etika.

“Laporan palsu ini bukan sahaja tidak bermoral, tidak ada akhlak daripada segi kewartawanan dan juga memperdagangkan (laporan berita) untuk menipu dan fitnah.

“Semalam (11 Januari 2017), Pejabat Ketua Menteri tidak diserbu langsung oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), maka saya harap janganlah cuba sekali lagi untuk memburuk-burukan imej Pejabat Ketua Menteri, dengan laporan palsu seumpama ini,” nasihatnya dalam sidang media di sini 12 Januari lalu.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai serta ADUN Pulau Tikus, Yap Soo Huey.

Guan Eng memberitahu, pada 11 Januari 2018, antara jam 4 petang sehingga 5 petang, beliau masih di pejabatnya bersama-sama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Tuan Haji Mohamad Sabu dan Datu Saifuddin Nasution Ismail (Penasihat Strategik Kepada Ketua Menteri merangkap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, PKR).

Jelas Guan Eng, mereka saling berbincang mengenai program Mutiara Food Bank iaitu program mengagihkan lebihan makanan bermutu kepada keluarga-keluarga terpilih khususnya golongan fakir dan miskin di negeri ini.

“Mana ada Pejabat Ketua Menteri diserbu, saya masih bertugas,” jelasnya.