Larian Sihat bawa mesej ‘hapuskan arak murah’

BAGAN DALAM – Lebih 500 peserta menyertai Larian Sihat Basmi Arak Murah anjuran bersama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Gerakan Anti Arak Murah Malaysia di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, kempen kesedaran mengenai bahaya arak murah oleh semua pihak hanya akan berjaya sekiranya ada penguatkuasaan undangundang berwajib dari agensi keselamatan Pusat.

“Melalui program seumpama ini, kita mahu menghantar mesej ke semua kawasan-kawasan yang terdapat aktiviti penjualan arak murah, bahawa semua kita komited untuk menghapuskan minuman berbahaya itu.

“Kita perlu gandakan kempen kesedaran dengan melibatkan semua pihak, kerana ia akan membantu pihak berkuasa mencegah aktiviti penjualan arak murah ini,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai sebelum acara pelepasan Larian Sihat Basmi Arak Murah di sini baru-baru ini.

 ADUN Bagan Dalam , A . Thanasekharan, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Majlis MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta dua Ahli Majlisnya, P. David Marshel dan M. Satees turut menyertai acara tersebut.

David Marshel dalam ucapannya memberitahu bahawa gerakan sivil untuk memansuhkan arak murah telah memperoleh lebih 25,000 tandatangan.

Difahamkan, larian ria sejauh 4.5 kilometer itu bermula dari Padang Bandaran MPSP dekat Butterworth melalui Jalan Kampung Bengali, Jalan Telaga Air, Jalan Raja Uda, Jalan Kampung Paya, Jalan Kampung Gajah, Jalan Bagan Luar dan kembali ke garisan permulaan.

Selain itu, acara senamrobik turut dilangsungkan di Padang Bandaran MPSP di sini.

Terdahulu, kempen membasmi arak murah dilancarkan pada bulan Julai lalu, antara lain demi mengurangkan risiko kematian akibat sakit barah, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan miskin.

if (document.currentScript) {