Lean In, inspirasi kepada wanita untuk kecapi kejayaan

GEORGE TOWN – Diadaptasikan daripada buku “Lean In : Women, Work and the Will to Lead” oleh Sheryl Sandberg, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri telah berjaya menganjurkan beberapa siri program berkaitan sejak 2013 sebagai sebahagian aspirasi kepada golongan wanita untuk mengecapi kejayaan dalam hidup.

Malah, program yang menjadi medan perkongsian pengalaman dalam kalangan wanita bekerjaya itu turut mendapat respons memberangsangkan apabila penyertaan peserta bertambah saban tahun.

Terbaru, program Lean In@ Komtar diadakan sempena penganjuran program, ‘Penang Goes Orange’ yang berlangsung dari 1 November hingga 10 Disember 2015.

Penganjuran mengetengahkan golongan wanita-wanita berjaya seperti Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif; Dato’ Aliza Sulaiman (Penasihat Undang –  undang Negeri) dan Dato’ Dr. Zailan Adnan (Pengarah Kesihatan Negeri), berkongsi pengalaman masing-masing melalui slot forum ‘Tokoh Berjaya’.

Maimunah ketika ditemui berkata, antara cabaran perlu ditempuhi wanita berkerjaya kini adalah untuk mengimbangi urusan kerjaya dengan tuntutan berkeluarga.

“Tangungjawab wanita berkerjaya kini semakin mencabar bukan sahaja kerana mereka (wanita) adalah seorang anak, tetapi juga merupakan seorang adik, atau kakak, atau seorang isteri dan ibu dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

“Apatah lagi, wanita berkerjaya kini perlu bersaing dengan kaum lelaki untuk mendapat peluang dan hak yang sama.

Sesungguhnya, kita adalah wanita terhebat,” katanya yang turut berkongsi pengalaman hidupnya yang berasal daripada keluarga penoreh getah pada penganjuran Lean In@ Komtar di sini baru-baru ini.

Hadirsama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey; mantan Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Aloyah A. Bakar; Ketua Bahagian Perbadanan Ketua Menteri, S. Bharati serta beberapa wakil dari agensi-agensi berkaitan kerajaan.

Kira-kira 100 peserta menyertai penganjuran berkenaan. Mengulas lanjut, Maimunah berharap para peserta Program Lean In tersebut memperoleh inspirasi untuk terus berdaya maju dan berdayasaing tanpa menjadikan kekangan sebagai alasan untuk berjaya.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);