Lebar jalan baru berimpak tinggi demi selesa penduduk Taman Riang, Jalan Mohd. Saad

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SHUM JIAN-WEI

BAGAN JERMAL – Pelebaran jalan baharu sepanjang 350 meter (m) dekat Jalan Mohd. Saad dengan kos RM344,060 termasuk kenaan 6 peratus Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) bakal menyuraikan 5 peratus aliran trafik di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan pembukaan jalan baru itu berkata, projek tersebut sekaligus memberi impak sosial yang tinggi kepada penduduk setempat, khususnya sekitar Taman Riang dan rumah pangsa sekitar Jalan Mohd. Saad.

“Daripada segi trafik lebih lancar berbanding dulu, jalan ini sempit dan boleh dianggap jalan mati.

“Ini contoh projek berimpak tinggi untuk rakyat, mencapai 5 peratus (mengurangkan kesesakan aliran trafik sekitar kawasan ini),” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan sambil menegaskan bahawa kenaan GST begitu membebankan Kerajaan Negeri dan rakyat pada majlis berkaitan 26 Disember lalu.

Turut berucap, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal dan Yang di- Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap ADUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh dan ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan.