Lebih banyak laluan pejalan kaki bakal dinaik taraf, umum ADUN

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal menaik taraf lima lagi laluan pejalan kaki di sini pada tahun ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf tersebut adalah melibatkan penyambungan laluan pejalan kaki untuk menghubungkan kawasan-kawasan di dalam bandar dengan kos berjumlah RM1.4 juta.

“MBPP akan membelanjakan RM1.4 juta untuk menaik taraf lima laluan bagi menjadikan ia selamat kepada pejalan kaki terutamanya kepada orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan,” katanya semasa lawatannya ke Jalan Penang 8 Februari lalu.

Menurut Lai Heng, MBPP juga telah membelanjakan RM2.5 juta untuk menaik taraf 14 laluan pejalan kaki di sini pada tahun lepas, dengan projek siap sepenuhnya dari Masjid Simpang Enam ke Jalan Burma pada 28 Januari lalu.

“Laluan 400 meter (m) itu disiapkan mengikut jadual selama enam bulan dengan kos RM330,000. Longkang telah ditutup dan sebahagian besar laluan pejalan kaki dibina menggunakan ‘eurotiles’.

“Laluan pejalan kaki di Jalan Penang dan Jalan Lingkaran Tengah Penang telah dinaik taraf kira-kira 10 tahun lalu. Kini, kami menaik taraf laluan pejalan kaki untuk menghubungkannya dengan apa yang boleh kita panggil Jalan Raya Pulau Pinang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Lai Heng turut menyatakan bahawa 11 kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang di jejantas berhampiran Komtar atau lebih dikenali sebagai Jejantas Octopus, yang menghubungkan Jalan Penang, Jalan Burma, Jalan Dr. Lim Chwee Leong dan Komtar Walk.

“Jalan-jalan ini dihubungkan dengan bilik kawalan utamanya di Komtar.

“Malah, lif turut dipasang di Jejantas Octopus, dan sekiranya terdapat sebarang masalah pengguna boleh menghubungi MBPP di talian 04 – 263 7637,” jelasnya.