Lesen anjing bagi jamin tahap kesihatan, elak risiko wabak

Admin

BERAPIT – Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Joshua Woo Sze Zeng melahirkan rasa bimbang mengenai aktiviti pemeliharaan anjing tanpa lesen dan vaksin berwajib dalam kalangan komuniti.

Berdasarkan data MPSP, katanya, sejumlah 7,625 lesen anjing dikeluarkan pada 2015 dengan penurunan kira-kira 63 peratus menjadi 2,821 lesen sahaja pada tahun lepas.

“Lesen ini bukan sahaja demi memastikan tahap kesihatan anjing bebas daripada wabak, malah juga bagi menjaga keselamatan manusia daripada risiko yang tidak diingini,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Penjelasannya itu sekaligus menjawab isu anjing berkeliaran di jalan utama dekat Bagan Nyior Juru, yang tular dalam laman media sosial Facebook tertentu sejak 24 April lepas. Sze Zeng memberitahu, Undang-undang Kecil Kawalan Anjing MPSP 1982 diwartakan sejak 35 tahun lepas, dan bukan untuk membebankan para penjaga anjing di Seberang Perai.

“Undang-undang ini bukan untuk membebankan penjaga anjing, sebaliknya bagi memantau sekiranya terdapat kes kecemasan seperti penularan virus,” jelasnya sambil memberitahu bahawa Seberang Perai masih dalam tempoh setahun sebelum diumumkan sebagai bebas daripada wabak Rabies.

Mengulas lanjut, Sze Zeng memberitahu, yuran permohonan lesen anjing di Kompleks MPSP Jalan Betik adalah serendah RM10 sekiranya binatang pemeliharaan telah diberi vaksin.

“Bagi anjing yang belum divaksin, bawa penyata cukai taksiran, kad vaksinisasi (jika ada) dan anjing kepada MPSP Jalan Betik, dengan yuran RM10 untuk lesen dan RM35 untuk vaksin,” jelas beliau.