Letakkan keluarga sebagai keutamaan – Chong Eng

GEORGE TOWN – Ibu bapa disarankan agar meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak termasuk memberi perhatian terhadap perasaan, kehendak serta sentiasa berkomunikasi agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan masalah sosial.

Mengulas lanjut, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng memberitahu, ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan pengukuhan institusi kekeluargaan dapat dicapai.

Tambahnya, sekiranya institusi kekeluargaan itu kukuh, maka ia mampu menjadikan masyarakat di negeri ini sebuah komuniti yang berdaya saing, berjaya dan bahagia.

“Kerajaan Negeri amat prihatin dengan masalah sosial yang berpunca daripada kepincangan sesebuah institusi kekeluargaan.

“Oleh itu, saya berharap dan menyeru kepada semua agar dapat memastikan setiap ahli keluarga masing-masing mengamalkan kehidupan yang sejahtera dan penuh kasih sayang.

“Saya percaya, sekiranya kita meletakkan keluarga sebagai keutamaan, banyak masalah mampu diselesaikan termasuk gejala sosial dalam kalangan belia kini,” ucapnya dalam Majlis Penutupan Sambutan Penang International Day of Families di sini baru-baru ini.

Chong Eng dalam pada itu memberitahu, setiap ibu bapa dan ahli keluarga perlu prihatin dan peka dengan peranan masing-masing agar hubungan sesama ahli keluarga terpelihara.

“Ibu bapa perlu tahu membahagikan masa dan tidak hanya mementingkan karier sematamata.

“Ada dalam kalangan ibu bapa hanya memberi wang kepada anakanak sebagai tanda ‘tanggungjawab’.

“Namun, mereka (ibu bapa) lupa bahawa wang ringgit tidak mampu memberi kebahagiaan.

“Sebaliknya, luangkanlah masa yang berkualiti dengan anak-anak, bawalah ahli keluarga anda untuk bercuti atau melakukan aktiviti bersama di hujung minggu,” ujarnya yang turut menyuarakan keyakinan bahawa ibu bapa yang hebat mampu melahirkan institusi kekeluargaan yang mantap.

Dalam majlis sama, Chong Eng turut meluangkan masa menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi dua pertandingan, iaitu pertandingan menulis esei dan pertandingan fotografi yang turut diadakan bersempena penganjuran berkaitan.

Pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai serta sijil penyertaan.

Sambutan Penang International Day of Families julung kali diadakan tahun ini hasil kerjasama Kerajaan Negeri dan Impact Penang, iaitu sebuah komuniti yang memudahcarakan pelbagai inisiatif transformasi bandar di Pulau Pinang.

International Day of Families disambut pada 15 Mei setiap tahun sejajar dengan resolusi yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1994 untuk meningkatkan kesedaran terhadap pelbagai isu berkaitan institusi kekeluargaan.