Lif Pangsapuri Seri Nibung berjaya dinaik taraf menerusi TPM80PP

BATU UBAN – Keprihatinan Kerajaan Negeri dizahirkan melalui sumbangan RM208,000 skim Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) apabila empat unit lif di Pangsapuri Seri Nibung, Bukit Jambul dinaik taraf dan berwajah baharu kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan memaklumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan RM260,000, RM208,000 adalah dibiayai melalui TPM80PP.

“Baki sebanyak RM52,000 dibiayai sendiri oleh penduduk Pangsapuri Seri Nibung… jadi saya harap penduduk-penduduk di sini dapat menjaganya (lif) dengan baik termasuk semua kemudahan yang ada.

“Kalau lif rosak semua orang susah… malah, saya juga merayu jasa baik tuan-tuan dan puan-puan supaya konsisten dalam menjelaskan yuran penyelenggaraan agar apabila berlakunya masalah kemudahan, perbadanan pengurusan tidaklah berdepan dengan masalah peruntukan,” ucapnya pada Majlis Perasmian Projek Naik Taraf Lif Pangsapuri Seri Nibung di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Seri Nibung, Low Cheng Chuah. Sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, Jayabalan menyatakan bahawa beliau akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dalam pada itu, Cheng Chuah ketika ditemui turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Jayabalan dalam menjamin keselesaan penduduk-penduduk di situ.

Difahamkan sejak tahun 2017 sehingga kini, sebanyak 19 lif di KADUN Batu Uban telah mendapat kelulusan untuk dinaik taraf.