Link Bike, inisiatif ke arah negeri mesra basikal pertama

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

PADANG KOTA – Pengenalan sistem perkongsian basikal atau Link Bike baru-baru ini merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri mesra basikal pertama di Malaysia.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng ketika berucap pada Program Kayuhan Malam Bandar Warisan dekat Padang Kota baru-baru ini.

“Dengan ini (pengenalan Link Bike), kita (Pulau Pinang) juga menyertai negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, China dan Australia yang turut mempunyai sistem basikal seperti ini.

“Pulau Pinang menjadi negeri pertama dalam Malaysia yang mempunyai sistem seumpamanya, bahkan di Singapura pun masih belum ada sistem perkongsian basikal seperti ini,” katanya yang turut berkayuh dari Lebuh Phee Choon ke Padang Kota di sini pada malam pelancaran.

Menurut Guan Eng, sejak pelancaran rangkaian Link Bike pada November lalu, banyak maklum balas yang diterima daripada orang awam.

“Kebanyakan maklum balas yang dikemukakan adalah positif, iaitu kekurangan basikal untuk disewa.

Justeru, kita setuju untuk tambah 60 basikal lagi menjadikan keseluruhan 250 basikal membabitkan seluruh kawasan warisan UNESCO ini.

“(Dan) ucapan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang sanggup membiayai projek Link Bike ini yang bernilai RM1.85 juta,” ujarnya.

Guan Eng dalam pada itu turut membayangkan laluan basikal bersepadu disambungkan sehingga ke Seberang Perai seandainya Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) bernilai RM27 bilion berjaya direalisasikan.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang; Ahli-ahli Majlis bagi MBPP; Pengerusi Kelab Berbasikal G Club, Dr. Lim Seh Guan serta ahli-ahli Kelab Berbasikal MBPP.

Bagi menggunakan perkhidmatan berkaitan, pengguna terlebih dahulu perlu memuat turun aplikasi Link Bike ke telefon pintar.

Setiap pas untuk menyewa bernilai RM2 bagi tempoh 24 jam atau sehari.

Bagi sewaan melebihi 30 minit, sebanyak RM1 dikenakan terhadap setiap jam berikutnya.