Longgar syarat pinjaman pembeli RMM – seru Exco

SEBERANG JAYA – Kuasa membeli hartanah mencecah jutaan ringgit di negeri ini bukanlah gambaran sebenar mengenai kemampuan mereka yang buat kali pertama mahu memiliki Rumah Mampu Milik (RMM) dengan memohon pinjaman perumahan daripada pihak bank.

Justeru, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berharap Bank Negara Malaysia (BNM) dapat mempertimbang syor melonggarkan syarat pinjaman perumahan kepada golongan sasaran berwajib.

“Selalu saya katakan bahawa kita (kerajaan) tidak boleh membandingkan seseorang pembeli Rumah Mampu Milik dan pembeli perumahan biasa yang bernilai jutaan ringgit.

“Apa gunanya sebuah kerajaan menyediakan Rumah Mampu Milik, termasuk rumah Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah, sekiranya golongan sasaran yang sebenar tidak mampu memilikinya kerana permohonan mereka ditolak oleh pihak bank.

“Masalah yang saya bangkitkan ini bukanlah masalah terpencil di Pulau Pinang, tetapi, masalah sebenar majoriti rakyat Malaysia,” jelasnya semasa merasmikan Ekspo Hartanah & Pelaburan Kali Ke-3 2015 di sini baru-baru ini.

Agensi Kerajaan Negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) antara 20 pihak pemaju yang membuka pameran perumahan dan hartanah pada ekspo yang berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober lalu.

Menurut Jagdeep, kadar penolakan pemohonan pinjaman perumahan untuk memiliki RMM oleh pihak bank adalah setinggi 70 peratus, sebagaimana didedahkan dalam kaji selidik Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), serta, dipersoal Persatuan Pembeli Rumah (HBP) baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat sekali lagi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri sebenarnya berhasrat mengadakan perbincangan lanjut dengan Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Aziz atau Penolong Gabenornya,
Abu Hasan Alshari Yahaya mengenai syor melonggarkan syarat pinjaman perumahan perbankan untuk pembeli RMM kali pertama terbabit sesegera mungkin.

DR. Afif Bahardin (tiga dari kanan) sambil ditemani Asrol Sani Abdul Razak (dua dari kiri) dan Muhasdey Muhammad (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci rumah sebagai menyempurnakan gimik penyampaian kunci rumah kepada salah seorang penerima pada Program Jelajah Desa 2015 Daerah SPU di sini baru-baru ini.