Luangkan masa 1 minit setiap hari asingkan sisa domestik

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

 

AIR PUTIH – Rakyat Pulau Pinang disaran meluangkan masa sekurang-kurangnya satu minit setiap hari untuk mengasingkan sisa domestik di kediaman masing-masing sebagai menjayakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca secara mandatori mulai 1 Jun 2017.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, setiap penduduk di Pulau Pinang membuang sekurang-kurangnya 1.1 kilogram (kg) sampah setiap hari dan sekiranya pengasingan sisa di punca diamalkan di kediaman masing-masing, Kerajaan Negeri dapat menjimatkan sehingga RM1,146,345 juta.

“Semua pihak kena ambil tanggungjawab meluangkan masa satu minit satu hari dan perlu dilakukan secara berterusan bagi membiasakan diri dengan amalan pengasingan sisa di punca.

“Saya percaya anda mampu mengubah tabiat pembuangan dan pengasingan sisa domestik…ingat cuma satu minit satu hari, anda mampu mengubah gaya hidup anda dan mengubah negeri Pulau Pinang menjadi lebih bersih, hijau, sihat dan selamat,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Program Pengasingan Sisa Di Punca Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih dekat Rumah Pangsa Taman Air Itam Blok 1 dan 2 serta Kastella Court di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Mubarak Junus yang mewakili Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan wakil penduduk, Doreen Lee.

Bersempena itu, Guan Eng turut menyeru agar semua pihak pengurusan atau pihak pengurusan bersama rumah-rumah pangsa di negeri ini dapat melibatkan diri secara aktif dalam menggalakkan para penghuninya supaya mengamalkan pengasingan sisa di punca.

“Sekiranya pihak pengurusan sudah memulakan program ini dengan menyediakan tempat khusus atau tongtong pengasingan, terima kasih diucapkan kerana anda merupakan peneraju demi masa hadapan yang lebih baik,” ujarnya.