Luxoft pilih P. Pinang sebagai lokasi pelaburan terbaru Asia Pasifik

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Luxoft Holdings Inc. (Luxoft) iaitu sebuah syarikat berasaskan perisian rekaan automatif berpengkalan di Switzerland memilih Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan terbarunya di Asia Pasifik, baru-baru ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Luxoft, Dmitry Loschinin berkata, pihaknya mengeluarkan pelaburan sebanyak RM235 juta bagi meluaskan rangkaiannya di sini dalam usaha memajukan sektor kejuruteraan perisian.

“Kami bersetuju untuk memilih Pulau Pinang berdasarkan kecemerlangannya keadaan infrastruktur yang baik, taraf pendidikan, sokongan daripada pihak Kerajaan Negeri serta tenaga kerja mahir dalam kalangan orang tempatan.

“Malah, pembukaan ini akan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan memperkasakan diri dalam bidang kejuruteraan perisian menerusi penjanaan 500 peluang pekerjaan,” ujarnya sambil menaruh harapan agar pembukaan Luxoft di negeri ini akan melebarkan jaringan sedia ada di Asia Pasifik selepas tiga lokasi sebelum ini iaitu Singapura, Australia dan Vietnam.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hadir menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Luxoft di sini.

Turut sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Sdn. Bhd. (MDEC), Datuk Ng Wan Peng.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya menyifatkan pembukaan Luxoft di negeri adalah bertepatan dalam menjana pelaburan baru.

“Pulau Pinang mempunyai beberapa kriteria dalam menjadikan negeri ini lokasi utama bagi Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) sejak kebelakangan ini.

“Antaranya, pencapaian piawaian antarabangsa, modal insan cemerlang, rangkaian perhubungan berkualiti, infrastruktur bertaraf antarabangsa dan Kerajaan (Negeri) yang bersih.

“GBS sehingga kini turut menyediakan kira-kira 8,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta berpendapatan tinggi,” jelas beliau.