Majlis harap beri semangat – MP

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT MINYAK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk beramah-mesra bersama-sama umat Islam di kawasannya bersempena bulan Ramadan yang mulia ini.

Baru-baru ini, beliau menghadiri jamuan berbuka puasa bersama-sama penduduk Kampung Permatang Tok Subuh dekat Bukit Mertajam di sini.

ADUNnya, Lee Khai Loon berkata, program ziarah tersebut bertujuan mendekati 35 keluarga penduduk asal kampung berkenaan yang berdepan dengan tindakan pengusiran daripada tuan tanah.

“Program ziarah pada hari ini bertujuan untuk menunjukkan semangat solidariti dengan penduduk asal di sini bagi melalui cabaran yang dihadapi.

“Saya berharap agar keputusan yang akan dikeluarkan oleh mahkamah tidak lama lagi akan memihak kepada penduduk dan menjadi hadiah sempena hari raya,” ujar beliau pada majlis tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong turut hadir pada majlis jamuan berbuka puasa itu.

Pada program sama, Khai Loon dan Chee Keong turut menyampaikan sumbangan berupa buah kurma dan wang sagu hati kepada penduduk bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini.

Dalam pada itu, Khai Loon turut berpesan kepada penduduk terbabit agar terus berjuang mempertahankan hak masing-masing di samping tabah menghadapi ujian ini.

“Harapan saya agar penduduk tidak tertekan menghadapi situasi ini dan dapat menyambut hari raya tanpa rasa gelisah,” tambah beliau.

Menurut Chee Keong, diharap majlis diadakan dapat memberi semangat kepada penduduk kampung terbabit menghadapi hari raya tidak lama lagi.

“Walaupun kehadiran kami pada kali ini amat ringkas, sekurang-kurangnya penduduk di sini tidak berasa seperti dibiarkan sahaja.

“Kita akan bersama dengan penduduk bagi membantu mereka menyelesaikan kemelut ini,” ujar beliau.