Maklum balas komuniti, remajakan ruang awam pekan Bukit Mertajam

Admin

PADANG LALANG – Demi meremajakan semula pekan lama Bukit Mertajam, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal mendapatkan maklum balas lanjut daripada komuniti penduduk serta peniaga tempatan berhubung cadangan mewujudkan beberapa lagi lokasi ruang awam (public spaces) di lorong sisi berhadapan Jalan Datuk Ooh Chooi Cheng di sini.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, komponen projek perintis itu dilaksanakan berdasarkan perjanjian persefahaman (MoU) pada 20 Oktober 2015 antara MPSP dan Yokohama City Council, Japan International Cooperation Agency (JICA), Yokohama City University, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Yokohama-Seberang Perai Urban Development Friendship Committee.

“Ini adalah salah satu lorong di Bukit Mertajam, impiannya adalah untuk menjadikan ia sebagai ruang awam (public spaces), justeru, kita akan mendapatkan maklum balas penduduk dan peniaga di sini,” jelasnya kepada pemberita ketika melawat tapak ruang awam di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng yang juga Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti; Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud; Pereka Bentuk Bandar merangkap Pensyarah Kontrak Khas Yokohama City University, Prof. Naoyuki Kuniyoshi; Perunding Jurutera Merangkap Anggota Yokohama Seberang Perai Friendship Committe for Urban Planning, Toshihik Oyamatsu.

Mengulas lanjut, Maimunah memberitahu, Kajian Reka Bentuk Bandar Bukit Mertajam akan mengenal pasti empat projek utama, iaitu, conservation and re-adaptive use of shop houses, yang mana beberapa unit rumah kedai termasuk rumah mantan Ketua Menteri, Tan Sri Wong Pow Nee yang mempunyai nilai warisan.

Selain itu, katanya, Pasar Awam Bukit Mertajam yang beroperasi sejak 130 tahun lalu dan dinaik taraf pada bulan Disember 1934 akan dipulihara semula, sebagai mercu tanda sejarah reka bentuk bandar di pekan lama tersebut.

Tambah Maimunah, kajian reka bentuk perbandaran turut dilaksanakan di lapan persimpangan jalan utama, iaitu sekitar Jalan Arumugan Pillai, Jalan Che Bee Nor, Jalan Datuk Ooh Chooi Cheng, Jalan Muthu Palaniappan, Jalan Stesen, Jalan Danby, Jalan Bunga Raya, Jalan Pasar dan Jalan Murthy.

“Tujuan kajian reka bentuk ini adalah untuk mengemukakan cadangan-cadangan berkait dengan penglibatan penduduk dalam pembangunan semula bandar ini.

“Tujuan sesi town hall di Sekolah Menengah Jenis (Cina) Jit Sin (Persendirian) di sini juga adalah bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada komuniti penduduk dan peniagapeniaga berkenaan di sini,” jelas beliau.