Maklumat buang sampah tawar ganjaran RM100

Admin

Oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

BUKIT MERTAJAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) terus proaktif menjadikan Seberang Perai bersih dan indah dengan memberikan ganjaran RM100 kepada mana-mana pihak yang tampil melaporkan kegiatan pembuangan sampah secara haram di sini.

Menurut Yang Dipertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif, pembuangan sampah secara haram di kawasan- kawasan terbiar dan bahu jalan adalah suatu tindakan tidak bertanggungjawab.

“Kita mahu menjadikan Seberang Perai sebuah kawasan yang bersih dan indah.

“Justeru, kita tampil dengan inisiatif ini bagi menggalakkan masyarakat bersama-sama membantu membanteras pembuangan sampah haram ini,’’ katanya pada Mesyuarat Majlis Penuh MPSP di sini baru-baru ini.

Jelas Maimunah, mana- mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung pembuangan sampah haram boleh memaklumkan kepada pihak MPSP beserta dengan bukti seperti gambar atau video.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MPSP, Rosnani Mahmod, terdapat dua perkara penting yang perlu disertakan pemberi maklumat bagi keperluan siasatan MPSP.

“Perkara pertama adalah infomasi pemberi maklumat beserta nombor akaun bank, plat nombor kenderaan pesalah serta rakaman bukti seperti gambar dan video.

“Kedua, butir-butir kesalahan yang dilakukan pesalah dan lokasi kejadian,’’ jelas beliau. Rosnani memberitahu, setelah maklumat diterima, siasatan akan dijalankan dan jika ia terbukti benar, pemberi maklumat layak mendapat ganjaran berkenaan dan pesalah akan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Sebagai jaminan keselamatan ke atas pengadu, sebarang maklumat berkaitan pengadu akan dirahsiakan,’’ ujar beliau.

Maklumat-maklumat kejadian boleh dimaklumkan kepada Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MPSP, Rosnani Mahmod di talian 013 – 475 1866 atau e-mel, rosnani@ mpsp.gov.my dan Penolong Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MPSP, Mohd. Puad Hamid di talian 013 – 436 4346 atau e-mel, mohdpuad@ mpsp.gov.my.