Manfaat TPM80PP, Taman Sri Timur dapat tangki air baharu

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN

AIR ITAM – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80% Pulau Pinang (TPM80PP) meluluskan RM107,000 untuk menukar tangki baharu dan membaiki sistem perpaipan di pangsapuri Taman Sri Timur dekat Lorong Rambutan 3 di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Wong Hon Wai berkata, daripada jumlah tersebut, badan pengurusan bersama (JMB) Taman Sri Timur bakal membiayai baki 20 peratus kos projek iaitu RM26,000.

“Skim ini memperuntuk 80 peratus dana Kerajaan Negeri dan 20 peratus dana JMB Taman Sri Timur… taman ini mempunyai 44 unit rumah kos sederhana rendah (LMC), maka ianya layak mendapat skim TPM80PP.

“Pelaksanaan projek ini adalah hasilpermohonan penduduk setempat dan ia dijangka siap pada awal September ini,” katanya   ketika mengadakan lawatan kerja-kerja menaik taraf penggantian duaunit tangki pangsapuri Taman Sri Timur.

Hadir sama, Pengerusi JMB Taman Sri Timur, Alice Foo dan mantan Pengerusi JMB, Rahmathulla Abdul Razak merangkap individu yang bertanggungjawab membuat permohonan kepada Hon Wai tahun lalu.

Menurut Rahmathulla, tangki sedia ada sudah berusia 24 tahun dan tidak pernah ditukar sejak pangsapuri berkenaan dibina.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat (Hon Wai) kerana usaha beliau, Taman Sri Timur bakal mendapat tangki air baharu yang lebih sempurna dan tidak akan berdepan dengan masalah kebocoran lagi,” ujarnya