Mangsa kebakaran dapat perhatian ADUN

Oleh : CHEAH JAY LOON
Gambar : SHUM JIAN WEI

SUNGAI PINANG – “Saya berasa bersyukur dengan sumbangan ini dan berterima kasih kepada YB (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Sungai Pinang) yang menolong kami,” kata mangsa kebakaran, Nazreen Begum Zulkifli, 27, ketika ditemui Buletin Mutiara di Flat Mutiara Idaman 2, Solok Tengku Jelutong di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima bantuan sumbangan daripada ADUN berkaitan, Lim Siew Khim yang menyumbangkan RM1,000 kepadanya.

Tambah Nazreen Begum, keluarganya mengalami kerugian kira-kira RM25,000 ekoran kejadian tersebut.

“Siasatan berhubung punca kejadian masih dijalankan.

“Abang saya, Muhamad Ashraf Zulkifli, 28, yang mengalami kecederaan ekoran kejadian tersebut dirawat di Unit Rawatan Terapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP),’’ jelas beliau.

Dalam kejadian 2 Oktober lalu, Nazreen Begum yang ketika itu menonton televisyen terkejut apabila terdengar bunyi letupan dari bilik abangnya.

Sejurus itu, api mula merebak dan beliau bersamasama ibunya melarikan diri untuk meminta bantuan jiran bagi menyelamatkan abang beliau yang masih terperangkap di dalam biliknya.

Dalam pada itu, Siew Khim memberitahu, sumbangan tersebut adalah daripada peruntukan beliau sebagai ADUN kawasan.

“Saya turut simpati dengan Nazreen (Nazreen Begum) dan akan membantu mereka sekeluarga mencari tempat tinggal sementara yang sesuai,’’ ujarnya.

Turut hadir, Penghulu Parlimen Jelutong, Khalid Zakaria yang juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 daripada Tabung Tuan Yang Terutama (TYT) dan tambahan, RM500, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat.