Mangsa ribut dapat perhatian segera ADUN

JAWI – Nasib mangsa-mangsa ribut dan angin kencang di Jawi baru-baru ini memperoleh perhatian Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Soon Lip Chee.

Lip Chee bersama-sama wakil Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS) antara yang terawal tiba di lokasi kejadian pada 8 Ogos lalu bagi menyampaikan bantuan kepada mangsamangsa terjejas.

“Saya menerima panggilan sekitar 4.45 petang dan bergegas meninjau sendiri keadaan mangsa ribut dan kediaman mereka yang rosak akibat dipukul angin kencang.

“Kesemua tujuh buah rumah yang terjejas telah dipasangkan bumbung baharu menggunakan peruntukan khas ADUN termasuk sebuah di Kampung Victoria, Kampung Jawi, Kampung Changkat Baroh dan masingmasing dua buah rumah di Taman Desa Jawi dan Ladang Changkat,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan ke rumah-rumah yang terjejas di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang penduduk di Changkat Baroh, Zakaria Ishak, 70- an, berkata, bumbung rumahnya diterbangkan angin kuat dalam sekelip mata.

“Walaupun rumah rosak, namun saya bersyukur kerana tiada kemalangan buruk menimpa kami sekeluarga,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Ng Chai Weng dari Kampung Victoria berasa lega apabila bumbung rumahnya dibaiki segera.

“Terima kasih kepada YB (Lip Chee) beri sumbangan baiki bumbung dengan segera dan membantu meringankan beban kami,” ujar beliau.

Kesemua mangsa ribut terbabit turut menerima bantuan bencana dari Kerajaan Negeri dan Tabung Bencana Khas Tuan Yang Terutama Negeri (TYT).