Marvell rancang tambah pelaburan lebih RM12 juta setahun

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN LEPAS – Marvell Semiconductor Sdn. Bhd. (Marvell) berhasrat menambah pelaburannya sehingga melebihi RM12 juta setahun bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Pusat Reka Bentuk Marvell baharu di Fasa IV, Bayan Lepas Technoplex di sini.

Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapan perasmian Pusat Reka Bentuk Marvell yang baharu baru-baru ini.

“Sebelum ini, Marvell telahpun melabur kira-kira RM8 juta bagi tujuan pembangunan pusat ini termasuk pembelian perkakasan baru.

“Dengan nilai pelaburan baru disuarakan Marvell, ia akan melibatkan pembangunan rangkaian R&D, pembangunan modal insan dan penambahan pekerja di pusat ini.

“Malah, pusat berkenaan bukan sahaja menyediakan kemudahan dan persekitaran kerja lebih baik, tetapi juga dapat membangunkan modal insan berkemahiran tinggi untuk menghasilkan teknologi bertaraf dunia pada masa hadapan,” kata pada majlis berkaitan.

Turut hadir, Pengarah Marvell, Ong Chin Hu, Pengarah Jurutera mewakili Ibu Pejabat Marvell Technology Group Limited, Tony Wang dan Pengarah Reka Bentuk, Tony Uranga.

Selain itu, Guan Eng turut menyatakan keyakinan unjuran ke atas industri semikonduktor bagi tahun ini adalah positif didorong oleh penggunaan elektronik dan pertambahan prestasi industri sungguhpun ia bergantung kepada perkembangan ekonomi dunia.

“Pulau Pinang telah melalui dua fasa transformasi iaitu pertumbuhan ekonomi berasaskan Zon Perdagangan Bebas sekitar tahun 1970-an dan percambahan kelompok industri seperti elektronik dan elektrik, semikonduktor dan perusahaan kecil dan sederhana antara 1980 ke 1990-an.

“Kini, Pulau Pinang sekali lagi melonjak ke aras transformasi baru dalam rantaian nilai dengan memberi tumpuan terhadap industri yang mempunyai nilai tambah tinggi, multimedia kreatif, perkhidmatan penyumberan luar dan perkhidmatan perkongsian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Chin Hu memberitahu bahawa setelah lapan tahun beroperasi di Pulau Pinang, Marvell yakin pihaknya kini di landasan yang tepat terutama dalam melahirkan pekerja berkemahiran tinggi.

“Kami yakin selain mahir dalam penghasilan produk mudah alih tanpa wayar, Marvell mampu juga menghasilkan produk mesra pengguna, mesra alam dan berkualiti tinggi,” jelas beliau.

Marvell Technology Group Limited adalah sebuah kilang pengeluar yang menerajui produk penyelesaian storan tinggi, alat komunikasi dan peranti tanpa wayar mudah alih serta semikonduktor dengan jumlah pengeksportan melebihi satu bilion litar bersepadu setahun.

Ia ditubuhkan pada tahun 1995 dan mempunyai kira-kira 7,000 pekerja serata dunia. Beribu pejabat di Santa Clara, California, Amerika Syarikat, ia turut mengendalikan pusatpusat reka bentuk di beberapa buah negara seperti di Kanada, Eropah, China, India, Jepun, Singapura, Taiwan dan Hong Kong.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);